Salam dan hai
Ok. tunaikan janji yang dah ditabur dalam {Post} ini. Tapi saya fikir, nak gunakan olahan berbeza menulis post ini sambil berkongsi gambar tetamu-tetamu kami, maka.. saya mahu menulis tentang isu Majlis Serentak.
Rasanya, semua tahu yang majlis kami dibuat serentak untuk kedua-dua belah. Memang daripada awal perancangan kami dan keluarga mahukan begitu kerana:
1. Saya dan D banyak mutual friends pasal kami membesar sama-sama di Serdang dan bersekolah disekolah yang sama. Malah ada kawan-kawan yang galakkan kami buat majlis serentak supaya mereka sendiri tak berbelah bagi nak pergi belah mana.
2. Famili kami juga kedua-duanya menetap di Serdang maka, kebanyakkan kawan-kawan ayah D, juga merupakan kawan-kawan ayah saya. Jadi takut 'membanjirkan' kad jemputan pada tetamu
3. Menjimatkan kos baik daripada segi katerer, baju sanding, mekap dan kos keseluruhan majlis.
Walaupun saya dan D merancang mahu buat majlis serentak, tapi kami belum pasti orang tua kami akan bersetuju dengan idea kami. Ibuayah saya memang daripada awal sudah kata mahu buat majlis di dewan. Belah D pula, kejiranan D kebanyakkannya buat majlis di kawasan rumah memandangkan mereka ada komuniti yang kuat.
Cuma selepas majlis merisik {Post} amat lega bila kedua-dua ibu bapa kami dapat persetujuan untuk buat majlis serentak. Mak D pun rupa-rupanya memang amat menggalakkan idea majlis serentak ni.
Saya ada terima banyak emel bertanyakan tentang majlis serentak. Macam mana nak uruskan, siapa yang akan jadi ketua pada hari majlis, bagaimana pembahagian jumlah tetamu dan buah tangan, lokasi praktikal di mana dan macam-macam lagi soalan. Jadi saya akan cuba terangkan dan bincangkan sebaik yang saya boleh dalam post ini.
Macam saya dah tulis diatas, tu antara faktor kami ambil keputusan membuat majlis serentak. Memang nampak mudah nak buat majlis serentak. Sebenarnya.. Memang AMAT AMAT MUDAH untuk buat majlis serentak JIKA kedua-dua famili mecapai persetujuan.
Persetujuan saya maksudkan disini, bukan cukup sekadar bersetuju untuk membuat majlis serentak, tetapi juga persetujuan dalam memilih lokasi majlis, katerer, buah tangan, perjalanan majlis, warna tema dan segala benda yang walau kita rasakan remeh, tapi mungkin akan jadi isu dibelakang hari.
Majlis serentak bermakna, kamu sebagai pengantin hanya ada SATU peluang untuk merealisasikan majlis kamu seindah dan sesempurna mungkin yang kamu impikan. Takde istilah "Oh, takpa. Majlis bertandang nanti boleh buat lebih baik". Ini satu-satunya majlis yang kamu ada, jadi kamu perlu gunakan kreativiti, persefahaman dan muafakat sesama sendiri untuk memuaskan hati kedua-dua belah pihak. Jangan ada pihak yang akan terasa diketepikan daalm membuat keputusan kerana ingat ya, ini majlis bersama. Tiada tuan rumah tunggal.
Jadi, yang boleh saya kongsikan tips tentang majlis serentak ini:-
1. Tetapkan jumlah tetamu. Kalau boleh biar seimbang kedua-dua belah pihak. Jika belah satu lagi mahu jemput kurang, bincangkan kos bagaimana perlu ditanggung. Sama ada tetap sama rata atau cuma untuk jumlah yang dijemput. Jumlah tetamu akan memberi kesan kepada lokasi majlis dan buah tangan.
2. Keputusan bersama. Kalau perlu pergi jumpa vendor, pastikan kedua-dua belah pihak ada bersama. Jika ibu/ayah satu pihak tidak dapat hadir, harus ada wakil keluarga yang ada berbincang. Wakil itu perlu sampaikan maklumat setepat mungkin. Semua harga juga perlu dipersetujui.
3. Sentiasa maklumkan untuk sebarang perubahan. Kalau satu pihak mahukan sesuatu yang bukan atas perbincangan bersama, pastikan pihak lagi satu dimaklumkan dan mereka bersetuju. Seperti rancangan mak D untuk bawa bunga pahar berarak {Post}. Kami dimaklumkan dan semua persiapan dibuat oleh belah Mak D memandangkan kami sendiri tidak tahu bagaimana yang beliau mahukan. Jadi pada hari majlis, persiapan untuk bunga manggar dan penanggahnya, memang semuanya diuruskan oleh wakil belah D.
4. Kedua-dua pihak harus duduk bersama dan bincangkan baget masing-masing. Kalau melebihi had, jangan paksa satu pihak untuk meneruskannya. Setiap orang ada kemampuan masing-masing. Jika satu pihak berselera besar, pastikan lebihan baki bayaran tu, dibayar oleh pihak yang berselera besar tu.
5. Jangan terlalu berkira. Walaupun ini majlis serentak dan kos dibahagi sama rata, tapi ada masanya, tak perlu setiap satu sen yang keluar perlu dikira dan ditimbang. Kalau satu pihak mahu sediakan bunga pahar, satu pihak lagi sediakan buah tangan untuk tetamu cilik. Ini majlis bersama dan anggapalah bakal mentua kita itu sudah jadi macam ahli keluarga sendiri. Mana yang kurang dan lebih, halalkan sahaja.
6. Pengantin sila sedarkan diri yang jika ini majlis bersama, jadi tak semua yang kamu impikan akan terlaksana. Jika ibu pasangan kamu mahu pilih bunga pahar sendiri, yang mungkin bukan dalam piawaian kamu, maka sila cekalkan hati dan berfikiran positif. Fikir logik, kamu nak bunga pahar tu untuk puaskan hati kamu dan adakah berbaloi untuk bergaduh bermasam muka, semata-mata kerana bunga pahar yang mungkin 100% tetamu yang datang langsung tak sedar dan tak ingat bentuk bunga pahar tu tak sepadan dengan keseluruhan tema majlis? Berhenti daripada meneropong kuman dilautan.
7. Ingat ya, kamu hanya ada SATU peluang untuk menjayakan majlis. Jadi pilih mereka yang terbaik! -- jurumekap profesional, kad jemputan tercantik, OP berkaliber, vendor pelamin terbaik yang akan membantu kamu merealisasikan impian kamu. Pastikan vendor yang dipilih, masih dalam baget kamu berdua. Tetapkan, siapa selera besar, lebihan baget tu, orang tu yang perlu bayar :P
8. Warna tema merupakan isu paling penting. Kalau kamu buat majlis asing-asing, mungkin pasangan kamu tidak boleh cakap banyak kalau kamu mahukan pink sebagai warna tema majlis. Tapi jika ini majlis serentak, dia juga punyai hak untuk bersuara dan memilih. Jadi, pilihla warna tema yang kamu berdua persetujui. Bagi saya, ada beberapa kriteria bagaimana nak bincang dengan pasangan tentang warna tema:
a. Pilih warna kegemaran kamu atau pasangan - mungkin satu pihak kena mengalah atau mungkin kamu berdua berkongsi warna kegemaran yang sama.
b. Pilih warna yang cantik dalam gambar - Kamu buat pilihan ini dan kamu takkan silap. Pilih warna yang akan naik dalam gambar seperti merah dan ungu, memang pilihan yang bijak.
c. Pilih warna yang bukan warna kegemaran kamu berdua tapi evergreen - Boleh saya bagi contoh kuning? hahaha.. Ok, warna tema kami merupakan warna yang bukan kegemaran kami berdua tapi kami pilih kuning kerana bagi kami kuning satu warna yang menonjol dan tak makan zaman dan trend.
9. Tetapkan siapa penanggah. Perlu diingat, pada hari majlis, memang kamu takkan dapat kawal keadaan. Akan pastinya ada wujud orang yang perasan dia ketua penanggah dan orang lain tak boleh buat kerja sebaik dia atau individu yang akan menggangu kerja penanggah lain. Kertas kerja yang kamu sediakan mungkin membantu tapi ingat, kamu tak boleh kawal semua orang. Jadi yang kamu boleh buat, minimumkan gangguan yang diwujudkan oleh penanggah ini. Pastikan juga, kamu maklumkan kepada belah sana berapa ramai penanggah yang diperlukan untuk setiap kerja dan aktiviti majlis. Siapa yang dipilih, terpulang pada mereka. tapi pastikan, kamu turut memilih penanggah daripada belah kamu, mana tahu penanggah belah dia hilang entah ke mana pada hari majlis. Sekurangnya kamu masih ada orang yang boleh membantu, kan? Jangan lupa, serahkan kertas kerja kepada belah sana supaya mereka boleh baca dan tambahkan apa-apa yang mungkin kamu terlepas pandang.
10. Tiada dominasi. Majlis serentak bermakna kedua-dua famili saling berkongsi. Kedua ibu ayah kita tuan majlis. Jadi tiada yang perlu didahulukan daripada yang lain. Cuma ada beberapa perkara, yang bagi saya perlu ditekankan disini. Memandangkan pada hari majlis nanti, kamu (wahai bride to be) adalah isteri, jadi isteri sentiasa bersama suami dan suami harus didahulukan. Maka, bagi pendapat saya, untuk kad jemputan atau bunting contohnya, nama suami kamu harus dahulu sebelum kamu. Jika ada upacara merenjis, dahulukan keluarga lelaki. Namun jika perbincangan, keluarga lelaki tak kisah, maka terpulang untuk dahulukan siapa.
Antara soalan lain yang diemel pada saya, tentang meja rombongan. Bagi saya, meja rombongan tidak perlu untuk majlis serentak, kecuali kamu ada menjemput VIP atau ketua jabatan, atau ada ahli keluarga yang kurang berupaya atau uzur, dan kamu mahu sediakan ruang khas untuk mereka, jadi tak apa. Untuk majlis kami, kami memang tak sediakan sebarang meja rombongan kerana bagi kami, empat buah meja yang mungkin dikhaskan untuk rombongan, baik kami gunakan untuk tetamu. Ini majlis serentak jadi jumlah tetamu yang datang, kita tak boleh jangka jumlahnya. Jadi, selagi ada ruang boleh diisi, kami gunakan.
Fiuh. Saya rasa cukup setakat ini dahulu tips hari ini.
Saya kongsikan antara gambar-gambar tetamu rapat kami yang sempat hadir ke majlis kami. Gambar saya ambil daripada kawan kami, Awang.
Saya tahu, bukan sekejap untuk mereka tunggu giliran untuk naik ke pelamin bergambar dengan kami, tapi mereka sanggup tunggu dan memberi kerjasama yang amat baik. Untuk itu, saya amat hargai sangat-sangat inisiatif mereka. Saya sendiri pun, jarang-jarang tunggu pengantin sedia untuk sesi fotografi. Selalu kacau pengantin di meja beradap. Hehe.
kawan-kawan gelak-tawa dan maki-hamun
Kawan-kawan yang susah senang bersama
Kawan-kawan yang tenggelam timbul tapi sentiasa dekat dihati
Bloggers B2B alert!!! :D
.. dan banyak lagi kawan-kawan zaman uni dan kerja yang saya langsung tak sangka mereka datang (pasal ada diantaran mereka yang saya tak menghadiri majlis mereka), siap bergambar diatas pelamin.
Ingat ya pengantin, yang penting jemput. Mereka datang atau tidak, tu tak apa. Percaya la, kamu mungkin akan terperanjat, mereka yang kamu tak sangka sanggup datang walaupun jauh, hadir di majlis kamu.
2 jam duduk diatas pelamin, memang kejang otot-otot punggung. huhu.
Sehingga saya menulis lagi .
9 Disember 2010
10 comments:
betul tu.. kena persetujuan bersama. Mula-mula By pun nak buat sekali. senang kan?
tips yg best sekali!!! kadang2 makcik and sedara kedua belah nnt..last2 minit bising2 and menyebuk..haha
owhh sgt berguna tips ni
Thanks for tips2 tu..
Liza pun sm..1 sek,1daerah,kwn2 pun sm..
mula2 mmg nk buat sekali..jimat..
tp bila campur tgn..so xjd,,sedih gak la.kdg2 kita nk berjimat..
untung u dpt buat sekali..
mmg untung xora dpt buat sekali
mmg untung xora dpt buat sekali
Xora,
aina da lame mencari tips ini & u make it...thank you very much dear!
http://chumotchumel.blogspot.com/2011/12/tips-untuk-majlis-serentak.html
eh,same la sikit sikit...
anonymous, haa, cuma beberapa perenggan pendahuluan post saya tidak dimasukkan :p
Post a Comment