Daisypath Graduation tickers Daisypath Anniversary tickers

31 August, 2011

Benih Cinta Kami



Salam dan hai

Rasanya, rata-rata ada yang sudah tau tentang kehadiran si hero baru dalam hidup saya dan D daripada blog Reen {
Post}

Alhamdulillah, semuanya selamat. Bayi lelaki selamat dilahirkan pada hari Khamis malam Jumaat, 25 hb yang lalu, ketika berusia 40 minggu 1 hari, cuma sehari lewat daripada tarikh EDDnya. Semangat orangnya, 3.87kg, dilahirkan normal di Hospital Putrajaya bersama team yang amat bagus dan suami tercinta di sisi.

Memang satu pengalaman yang tak dapat digambarkan. Juga membuktikan, setiap ibu pasti menempuh pengalaman yang berbeza. InsyaAllah, selepas habis tempoh berpantang, saya dapat kongsikan serba sedikit pengalaman saya.

Perkenalkan, D junior!



Mesti la kena amik gambar nak sipi-sipi, meneruskan tradisi umminya hehe.


31 Ogos 2011

23 August, 2011

Luarbiasa


Salam dan hai

Iye, saya masih disini. Ikutkan esok genap baby 40 minggu. Tapi masih belum ada tanda-tanda dia nak keluar. Seronok sangat kot duduk dalam perut ni. Berat pun dah 3.6 kg. Bukan salah ibu mengandung. Saya berpuasa seperti biasa, malah saya sendiri pun turun berat badan, cuma baby aje yang tambah berat badan.

Abang saya kata, berat bayi yang doktor kasi tu cuma anggaran dan biasanya masa timbangan adalah lebih berat. Jadi saya rasa ngeri. Tapi D kata, tak apa la. Yang penting sihat dan selamat.

Kalau baby tak keluar juga, saya kena induce 31 Ogos-- mungkin baby ni jadi baby merdeka? Mungkin boleh masuk suratkhabar kot berita kelahirannya nanti. Hehe.

Dikesempatan dapat menulis post ini, saya nak maklumkan pada siapa-siapa yang ada menghantar emel berkenaan kertas kerja majlis kahwin, mungkin saya tidak dapat melayan emel-emel tersebut buat masa terdekat ya diatas keadaan saya sekarang.

Sebenarnya, saya nak upload video yang saya sempat rakam masa baby gerak dalam perut. Saya rakam daripada atas. Pergerakan yang sangat aktif, boleh nampak perut saya ke kiri dan ke kanan masa dia bergerak. Nity sempat tengok video tu masa dia singgah ke rumah hantar rompers baby *dan pasal lepas tu dia outstation ke luar negara lagi. Keji la ko* dan dia rasa amat ngeri dan taksub. hehe. Korang rasa camne?





Perhatikan, minit ke 1:25, baby siap tendang tempat yang sama saya pegang. Ye, dia memang ada reaksi sebegitu. Tapi dengan saya dan D aje. Bila dengan orang lain, dia diam sahaja.

Buat semua pembaca blog Dia Terima Nikahnya, saya dan D ingin mengucapkan Selamat menjalani ibadat puasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Saya ingin memohon maaf jika ada post-post saya yang menyinggung perasaan pembaca atau ada emel yang terlepas pandang.

Berhati-hati di jalan raya dan berhati-hati juga dengan juadah raya! :D



23 Ogos 2011

19 August, 2011

Rutin Memasak: Edisi Kedua



Salam dan hai

InsyaAllah, tarikh due saya 24 Ogos ni-- hanya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya. Tapi dalam hanya berbaki beberapa hari sahaja, masih belum ada tanda-tanda nak bersalin. Masa pemeriksaan doktor kelmarin, doktor siap tanya nak induce terus tak. Terkejut saya! Tapi memandangkan saya terkejut dan tak dapat berfikir, saya kata nak bincang dengan suami dulu. Kalau 24 Ogos masih belum bersalin, 31 Ogos saya akan induce-- Hari raya kot!!!!!! Alahai..

Takpe, tak mahu risau sangat. InsyaAllah, nanti ada la rezeki. Yang saya mohon, biarlah semuanya selamat.

Nak cuti sakit pun doktor tak kasi pasal tiada sebab munasabah yang kukuh. Semua bacaan kesihatan saya ok alhamdulillah. Jadi, saya kena datang sahaja la ke opis macam biasa. Sebenarnya, saya lebih suka ke pejabat pasal jarak antara hospital dan pejabat lebih dekat daripada jarak rumah kami ke hospital. Cuma mungkin mendatangkan panik kepada kawan-kawan pejabat saya la kalau saya dapat tanda-tanda nak bersalin ketika di pejabat.

Seronok sangat kot baby duduk dalam perut ni. Dah engaged pun, tapi dia masih nak golek-golek dalam tu.

Ok, kita tukar topik. Topik baby lepas dia keluar baru kita sambung ye InsyaAllah?

Sekarang ni, saya nak menulis tentang sambungan daripada edisi pertama [
Post]. Terima kasih pada yang sudi berkongsi teknik masing-masing, banyak idea yang saya rasa saya sendiri pun boleh guna pakai :)

Saya masih berkira-kira bagaimana cara untuk saya sampaikan isi post kali ini; sama ada berkongsi pengalaman kah? berkongsi idea daripada Internet kah? atau bagaimana?

Kesimpulannya, saya rasa, mungkin gabungan kesemuanya lebih elok. Sekurang-kurangnya, jika ada cara saya yang kurang efisyen, ada pembaca yang dapat berikan komen membina yang mungkin dapat membantu meningkatkan teknik saya kan?

Untuk post Rutin Memasak: Edisi Kedua ni, saya menulis dalam 3 segmen:

1. Merancang Menu
2. Aktiviti memasak
3. Menyimpan resepi


Kita cuci dulu mata dengan gambar juadah pertama kami masa mula-mula berpindah. Perpindahan yang tak dirancang, stok makanan pun tak ada. Yang ada cuma dapur gas dan dapur. Jadi D cuma beli apa sahaja barang di kedai berdekatan--Sardin, bawang merah dan kentang sahaja. Haha


* Menu takde sayur, tapi D suka la pasal takyah makan sayur. Makan pun takde tikar. Kami bentangkan surat khabar kemudiannya. Kenangan..kenangan..

Dalam keadaan serba tak kena itu la, saya dapat pengajaran yang saya memang memerlukan perancangan. Bukan sahaja untuk memudahkan aktiviti memasak, tapi juga untuk memastikan makanan yang kita masak seimbang mengikut keperluan nutrisi kita.

Merancang menu

Saya kagum dengan isteri/suri rumah yang mampu memasak secara spontan. Tak merancang apa, cuma apa yang terdetik di saat dia buka peti ais, terus sahaja menu sekian-sekian disediakan. Buat masa sekarang, saya masih belum ada kebolehan seperti mereka tapi saya selalu berharap, semakin lama saya menguruskan hal rumahtangga, saya akan dapat dalami kemahiran ini, seperti mana yang ibu saya selalu buat.

Seperti yang selalu saya tulis dalam post-post saya yang lain, semuanya adalah proses pembelajaran. Pada peringkat awal menguruskan menu makanan kami, saya masih kabur-kabur nak mulakan bagaimana atas faktor:
1. Masih belajar selera makan D
2. Masih belajar mengimbangi menu kegemaran saya dan D
3. Masih belajar untuk memasak~~!!!

Dalam merancang menu juga, saya rasa, kita sebagai isteri kena tahu alahan makanan jika ada, sayur yang dia kurang suka, teknik memasak yang dia suka dan banyak lagi. Kalau masa berpasangan, kita mungkin tak perasan semua benda ni. Tapi bila sudah tinggal sebumbung, nak tak nak kena peka juga. Kita perlu tahu bukan setakat untuk ambil hati suami, tapi daripada segi perbelanjaan, supaya tidak membazir terbeli bahan mentah yang takkan dimasak dan daripada segi tenaga supaya kita tak penat memasak menu yang dia takkan sentuh. Nanti kita juga yang membebel.

Untuk diri saya, oleh kerana kerana saya ada sifat kebergantungan kepada perancangan, maka teknik saya adalah dengan menyediakan menu seminggu kami dalam satu fail; fail yang sama diletakkan senarai resepi --yang saya akan bincangkan kemudian.



Idea asalnya saya perolehi daripada iheartorganizing




*saya suka tersusun, tapi saya takde la rajin nak cetak warna warni camni heheh..

Namun, selalunya jadual menu saya pasti akan cacamarba, terutama bila ada perubahan rancangan aktiviti. Satu perkara yang saya pelajari daripada semua ini: tiada cara yang salah antara ketiga-tiga perkara dibawah:

a. Merancang menu, baru beli bahan
b. Beli bahan, baru merancang menu
c. Spontan

Sebabnya, kita hanya mampu merancang, tapi kesudahannya, mungkin pada malam kita nak masak, suami ada jemputan makan luar dengan kawan-kawan atau kita perlu ke rumah ibu ayah atau gatal terbeli ayam perapan di supermarket jadi tak sabar nak masak. haha. Jadi kita perlu ada fleksibiliti dalam apa yang kita rencanakan.

Walau pada asalnya, saya cuba juga nak ikut setiap menu yang saya senaraikan tapi lama kelamaan, saya rasa, menu ini sekadar rujukan dan idea agar kita tak mati akal dan juga untuk membantu saya dalam merancang pengeluaran bahan-bahan daripada peti ais, terutama sayur-sayuran. Contoh, kalau kami ada beli bayam atau sawi, saya akan pastikan saya masak sayur tersebut dalam tempoh terdekat, berbanding dengan kubis atau lobak merah yang lebih tahan lama.



Jadi, perancangan menu ini serba sedikit membantu saya dalam mengelakkan daripada membazir bahan dan wang. Tambahan, membuat perancangan yang optimum. Contoh; saya masak kari pada petang harinya. Esok harinya, saya akan buat sarapan roti jala, jadi kuah kari yang sama masih boleh digunakan. Disebabkan itu juga, saya masih mengekalkan teknik ini, walau ada sekali dua tercicir. Hehe

Biasanya, saya akan senaraikan menu saya selepas selesai mengemas bahan-bahan mentah yang dibeli di pasar. Ikut pada waktu bila saya lapang. Kadang-kadang tu, sambil tengok TV pun boleh buat. Lagipun, tak ambil masa yang lama, kurang 2 minit sahaja. Kalau saya tak pasti nak masak resepi apa, saya sekadar tulis 'ayam', jadi saya tahu yang saya kena keluarkan ayam daripada peti sejuk beku pada pagi sebelum saya ke tempat kerja, jadi balik kerja boleh terus mula memasak atau jika memerlukan untuk saya memerap daging, saya perapkan pagi sebelum saya kerja. Menu apa nak dimasak, cari sahaja di
myresepi

Ada masa, kalau saya terjumpa resepi yang menarik, tapi ada bahannya yang kami tak beli lagi, saya senaraikan menu tu untuk minggu hadapannya.

Idea dapur saya: Gambar di bawah ni boleh kasi idea yang spontan untuk menulis senarai barang runcit.



Tapi saya selalu tuliskan senarai barang runcit dalam handset saya pasal handset sentiasa kerap bersama saya. Tapi idea di atas ni saya gunakan untuk menulis menu memasak dua hari. Agak praktikal juga, cuma rasanya sedikit payah nak padamkan kesan pen marker. Mungkin di masa hadapan, saya nak gunakan idea papan hitam kecil, macam idea-idea dibawah ni, untuk..

Menulis menu


Senarai barang runcit


Trio fungsi


Atau sekadar pesanan khidmat masyarakat hehe


Aktiviti memasak

Saya ingat lagi, beberapa bulan sebelum berkahwin, ibu mengingatkan saya dia nak saya masak untuk D, seperti mana ibu masak untuk famili kami. Hujah membangkang saya "Ibu suri rumah, ieja kerja. Lain, tak sama". Maka, mula la ibu keluarkan ilmu-ilmu yang dia pelajari daripada menonton TV, teknik nak memudahkan memasak bagi isteri bekerja, menu-menu ringkas, pengurusan waktu dan macam-macam lagi

PENGAJARAN HARI INI: jangan berdebat dengan suri rumah yang suka tengok rancangan ilmiah. Pasti kalah dengan tidak begaya nanti.

1. Kita melawan masa

Bagi saya, perkara paling penting dalam aktiviti memasak adalah masa. Masa boleh jadi kawan atau lawan kita. Kalau sebelum ada anak, mungkin kita boleh tetapkan waktu memasak tengah hari bermula pukul 12, tapi mungkin selepas ada anak, kita perlu ubah waktunya untuk sesuaikan dengan anak kita pula.

Tapi untuk kali ini, saya cuma boleh menulis daripada segi aspek tinggal berdua sahaja kerana yang ketiga ini masih di dalam perut. Jadi tiada pengalaman lagi. Hehe.

Bagi saya, memandangkan majoriti kita masih bekerja, jadi pembahagian masa memang amat penting. Dalam situasi saya, saya buat pembahagian masa berbeza untuk sarapan dan makan malam.

Kalau sarapan, maksimumnya
15 minit: penyediaan bahan-bahan memasak
30 minit: aktiviti memasak
15 minit: mengemas bahan-bahan
Jumlah: 60 minit

Kalau makan malam, maksimumnya
15 minit: penyediaan bahan-bahan memasak
45 minit: aktiviti memasak
15 minit: mengemas bahan-bahan.
Jumlah: 75 minit

Sebenarnya, tidak la saya ikut setepat-tepatnya pembahagian waktu tu. Kalau saya sediakan sarapan ala kopitiam, telur rebus dan roti bakar, tidak la saya perlukan masa sehingga sejam nak sediakan semuanya. Mungkin 15 minit sahaja untuk siapkan semuanya. Kecuali la saya nak masak bihun goreng dan telur dadar, baru la saya aplikasikan pembahagian masa maksimum 60 minit tu, walaupun kebiasaannya masa yang diperlukan lebih kurang 30 minit sahaja.Yang pasti, saya perlu siapkan semuanya sebelum 6:20, kemudian mandi, kejutkan D, solat, bersiap ke pejabat dan sarapan bersama D, semuanya perlu selesai sebelum pukul 7:10 pagi.

Namun, semuanya berbalik pada menu sarapan yang dipilih. Cuma tempoh maksimum masa ni penting bagi rujukan saya supaya saya tak terlewat untuk bersiap ke pejabat dan menjadi penentu pukul berapa saya perlu bangun tidur untuk sediakan sarapan. *dan kalau ada masa lebih, boleh sambung tidur 10 minit. hehe

Penggunaan masa ini juga bergantung kepada berapa jumlah menu yang kita sediakan dan kerumitannya. Kalau kat rumah ibuayah dulu, kebiasaan orang Jawa, lauk mesti banyak-banyak atas meja. Tapi bila dah masuk rumah sendiri, saya tetapkan 2-3 lauk sahaja; 1lauk daging/ayam/ikan, 1-2 lauk sayur. Tak pun, lauk cuma 1 aje, contoh macam kari daging. Saya masukkan sekali dengan lobak, bendi, cili, tomato. Mudah. Mungkin yang makan cuma kami berdua. Kalau ahli keluarga bertambah, mungkin baru la boleh masak banyak-banyak. Hehe.

2. Rutin memasak dalam seminggu

Rutin memasak saya daripada hari Isnin sehingga Jumaat adalah sarapan dan makan malam. Kalau Sabtu dan Ahad, pagi adalah hari cuti saya hehe. D akan bawa saya sarapan di luar. Cuma tengah hari saya akan masak, tetapi malam biasanya tak masak kerana kebiasannya kami akan makan malam di rumah ibu ayah kami. Jadi, adalah penting untuk kita tahu bila waktu yang memerlukan kita untuk memasak jadi kamu dapat rancang daripada segi menu, belanja dapur dan tenaga.

3. Seleksi menu

Setiap pasangan adalah berbeza. Ada pasangan yang memang tak boleh makan awal pagi, boleh jadi muntah-muntah, macam adik saya. Sarapan paginya adalah pada pukul 10 pagi. Cukup pagi hanya bersarapan Milo atau roti sekeping. Ada pula yang memang perlukan sarapan berat seperti nasi lemak dan mee goreng. Semuanya ikut pada selera dan pilihan masing-masing. Jadi belajar la peel pasangan masing-masing ya?

Untuk kami, saya akan pastikan dalam seminggu, ada kombinasi sarapan ringan dan sarapan berat. Sebabnya? Ada hari juga saya nak rehat dan tak mo bangun awal buat sarapan. Hehe. Sarapan ringan bagi saya, sarapan yang tidak terlalu berkecah untuk disediakan, seperti
roti gulung, roti bakar telur hancur, bergedel, kuih muih seperti karipap. Kategori ini, bangun pukul 6 pagi untuk siapkan. Sarapan berat pula seperti nasi goreng dan mee goreng kena bangun seawal 5:30 untuk siapkan.

Memang menyediakan sarapan, tak kisah sarapan berat atau ringan memakan masa dan tenaga, tapi tetap, kita perlukan kaedah yang boleh meringankannya.

1. Untuk menjimatkan masa menyediakan bahan, kupas bawang dan potong sayuran seperti lobak siap-siap dan simpan dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk untuk digunakan esok paginya.
2. Keluarkan ayam, daging atau bahan mentah lain yang diperlukan pada malam hari dan letakkan di ruang peti ais.
3. Kalau ada ruang dalam peti ais yang mencukupi, kumpulkan semua bahan-bahan yang diperlukan untuk penyediaan sarapan berdekatan antara satu sama lain supaya tiada bahan yang tercicir.
4. korang, sila tambah ya?!

Idea dapur saya: Masa awal-awal duduk berdua, setiap kali memasak, macam ni la rupa barang-barang saya keluarkan siap-siap. Saya sayangkan dapur saya, pasal tu letak kain untuk lapik supaya tak calar *tapi calar juga bila tak perasan. Haih*.



Tapi sekarang dah tak guna kain untuk lapik pasal malas kena basuh kain tu setiap masa. Jadi saya pakai alternatif barang daripada Ikea ni.

Lupa apa namanya, tapi ianya plastik. Saya buat alas rak dalam kabinet dan alas tempat bawang *supaya kulit bawang tak jatuh ke lantai dan kekal dalam bekas--alternatif jika tak mahu menggunakan surat khabar*. Ada bakinya, cukup besar untuk saya buatkan alas bagi ruang kerja atas dapur saya tu. Lagi mudah pasal kotoran tak melekat atas plastik tu dan mudah untuk dibersihkan berbanding kain.




Menyimpan resipi

Saya memang jenis bergantung dengan resepi kerana
1. Saya tidak kreatif dalam mengolah resepi
2. Saya masih dalam peringkat awal berjinak-jinak nak masak, jadi masih belum dapat ingat bahan-bahan asas.
3. entah kenapa, kalau saya main campak aje bahan, mesti tak menjadi. Haih.

Jadi perkara pertama yang saya titikberatkan sebelum memulakan aktiviti memasak adalah koleksi resepi. Jadi, ini apa yang saya buat. Saya simpan resipi pilihan dalam file biasa ini sahaja.



Di dalamnya, saya bahagikan resipi ikut kategori


*Koleksi resipi saya masa peringkat awal dahulu. Sekarang semakin berkembang dan gemuk

Saya bahagikan resipi-resipi ni mengikut beberapa kategori
1. Nasi
2. Ayam
3. Daging
4. Ikan
5. Sayur
6. Makanan laut - sotong, udang, lala, kerang
7. Manisan dan kuih-muih
8. Kudapan - keropok
9. Pastri
10. Western
11. Roti
12. Mee
13. Stok
14. Lain-lain: bergedil, rempah, bebola daging,sos

Bila mengumpul resipi ni, memang ada kecenderungan nak simpan semua yang kita pernah baca. Kesudahannya, koleksi menu jadi gemuk sangat-sangat dan ada yang kita tak pernah baca atau cuba pun.

Jadi seeloknya:
1. Ambil resipi yang sukar kamu ingat atau yang kompleks cara menyediakannya.
2. Elakkan duplikasi resipi yang sama atau hampir sama. Kalau nak juga kedua-duanya, cetak satu sahaja dan tuliskan bahan yang ada dalam resipi kedua, ke dalam resipi yang pertama
3. Susun resipi yang sudah dicuba di bahagian belakang kategori menunya. Jadi kamu tahu resepi yang depan-depan, semuanya resepi baru
4. Buang atau ketepikan resepi yang tak kena dengan selera kamu.

Idea lain yang menarik: Kalau kamu terlebih rajin, boleh gunakan idea dibawah.


Sumber:
Marthastewart--Read more at Marthastewart.com: Easy Organizing Tips – Martha Stewart

Memang menarik menu kalau disertakan dengan gambar. Cuma rajin tak rajin sahaja la nak buat macam tu. Saya??-- Tak rajin. Hehe.

Tapi kalau tampal resipi kat peti ais cam gambar dibawah ni, pasti D bising. Hehe. Nak letak magnet pun kena letak kat tepi peti ais {post}. Huhu



Nahh. selesai 3 segmen untuk post kali ini. Mungkin kalau ada isi yang saya rasa boleh diperkemaskan, saya akan tambah kemudian ya? Untuk waktu ini, saya coretkan apa sahaja yang terlintas buat masa sekarang.

Oh ya, satu perkara yang saya nak kongsi sebelum mengakhiri post ni. Sepanjang lebih setengah tahun tinggal sebumbung, mempunyai stok-stok bahan tertentu di dapur adalah sangat penting, terutama bila ada tetamu datang waktu petang. Saya masih ingat lagi, kali pertama tetamu datang ke rumah kami, saya tak tahu nak hidangkan apa, sudahnya sekadar biskut Jacobs sahaja. Rasa bersalah sangat-sangat. Lepas tu, saya tanamkan dalam diri, kalau tetamu datang, sekurang-kurangnya saya akan jamu dengan makanan yang berat sedikit.

Jadi, di rumah, antara bahan yang mesti ada dalam dapur saya

1. Tepung gandum - Boleh dijadikan jemput-jemput, cucur udang, dan macam-macam lagi.

2. Bihun - Tahan lebih lama daripada mee atau kuehteow

3. Pasta/ makaroni/ Spageti - Kalau nak merasa tekak barat sikit hehe.

4. Pastry jenama 'Kawan' - Ni baru kenal lepas rajin singgah blog-blog masakan macam TiffinBiru. Boleh dijadikan macam-macam. Tak percaya, google sahaja dan boleh tengok macam mana kreatifnya orang memasak ni. Siap jadikan Croissant, sardine puff, chicken pie dan macam-macam lagi. Kalau tiada oven, boleh gunakan untuk buat Apple pie, goreng celur. Kat Mc Donald tu pun bukan pakai oven pun hehe


Sumber:
Kawan

5. Makanan beku - seperti karipap, pau, sosej dan bergedil. Untuk kudap-kudapan dan tak leceh nak disediakan.

6. Rempah segera- Saya suka buat satu hidangan daripada asas. Tapi ada masanya saya tunduk juga dengan kekangan masa dan tenaga, jadi rempah segera macam Mee Bandung, Soto dan sebagainya memang dapat menyelamatkan keadaan.

Enam senarai ini dulu yang saya dapat ingat buat masa sekarang ni. Kalau korang sendiri ada senarai masing-masing, apa kata kongsikan di ruang komen. Mungkin saya pun boleh jadikan panduan.

Fiuh.. sempat juga saya habiskan topik Perkongsian Hidup Rutin Memasak ini sebelum bersalin. Saya minta maaf kalau ada bahagian kupasan dalam post ini yang kurang jelas atau tidak sampai maksudnya. Erm, ada lagi ke bahagian yang belum disentuh? Rasanya macam dah selesai topik ini.

Sebenarnya, aktiviti memasak bukanlah minat saya. Saya cuma minat untuk cuba resepi baru. Memasak dengan kerap, menyebabkan saya bosan. Jadi satu-satunya cara untuk saya tidak bosan, adalah mencuba resepi baru sekerap yang boleh. Kiranya, macam mencabar diri sendiri. Tipu la kalau saya kata tak penat nak sediakan juadah ini semua. Kita kerja tetap waktu pejabat seperti suami kita, tapi balik terus kena masak dan sebagainya. Cuma satu perkara sahaja yang saya sentiasa beringat dan bersyukur: bila teringatkan situasi pasangan suami isteri jarak jauh. Betapa si isteri nak sangat memasak untuk suaminya, tetapi cuma berpeluang ketika hujung bulan atau mungkin 2 minggu sekali. Tapi saya ini, suami di depan mata, patut lebih bersyukur, ada si dia untuk melangsaikan segala juadah di depan mata, tak kira sedap ataupun tidak. Kan?

Apa topik seterusnya?? Ada cadangan? Mula-mula, ingatkan nak tulis tips memasak di bulan Ramadhan, tapi ni dah nak habis Ramadhan la. Kalau draft, agaknya tahun depan baru dapat siarkan. Hehe


19 Ogos 2011

10 August, 2011

Pengalaman 38 Minggu Saya







Salam dan hai

Post terakhir saya : hampir seminggu yang lalu.

Aih, kenapa la ni kan? Lambat benar nak letak post terbaru. Kadang-kadang rasa bersalah pula bila tengok pelawat kat blog ni sentiasa ada. Walau jumlahnya kadang-kadang dalam 3-4 orang sahaja dalam satu masa, tapi bila sudah tak kemas kini seminggu, masih ada yang sudi menjenguk, rasa bersalah la pulak.

Ramai sebenarnya yang emel bertanyakan tentang kandungan saya. Mungkin kerana saya jarang-jarang meletakkan cerita tentang perjalanan saya dalam blog ini. Entah, kurang pasti daripada mana nak dimulakan sebenarnya. Memandangkan usia kandungan sudah genap 38 minggu dan semalam doktor kata, kepala baby dah engaged *takut!! , maka rasanya boleh kot saya kongsikan serba sedikit perjalanan sepanjang tempoh mengandung saya secara ringkas.

1. Mengidam

Alhamdulillah, saya tiada mengidam yang bukan-bukan, semua boleh dicari, cuma bezanya, ada apa yang saya idamkan, diluar musim. Ada juga yang hati saya beria-ria untuk masak sendiri, tak ingin yang dibeli. Perkara pertama saya mengidam adalah cempedak goreng dan malangnya masa tu, cempedak belum bermusim. Jadi kena tunggu sampai ada. Kemudian mengidam bubur lambuk. Ramadhan jauh lagi masa tu, jadi nak tak nak, saya cari resepi dan kena masak sendiri. Mee soto juga begitu, kena masak sendiri baru saya puas hati. Apa lagi ya, kueh teow basah masak sendiri, blueberry cheesetart masak sendiri.

Tapi antara yang paling pelik saya mengidam, bila saya mengidam nak makan kek oren ibu saya. Spesifik kek oren ibu, semata-mata, saya lalu luar pejabat saya yang baru dicat dan entah macam mana, otak saya mentafsirkan bau cat tu sebagai bau buah oren. Jadi ibu kena masak kek oren tu, tapi ibu kata, saya bukan mengidam makan, tapi mengidam bau. Jadi dia kena masak panas-panas, sementara masih ada baunya. Memang betul, saya cuma makan sekeping aje, tapi saya duduk sahaja depan kek tu untuk baunya.

D pun kena tempias mengidam saya. Dia mengidam lasagna dan cendol. Lasagna bukanlah menu yang saya suka buat pasal leceh, tapi disebabkan D ngidam sangat-sangat, asyik bagi hint pasal lasagna aje, jadi buat la untuk dia.


*ni gambar lama. Masa ni kami masih bercinta lagi. Kali pertama buat lasagna, tak berapa menjadi, tapi D sangat-sangat suka walau dalam hati saya, kata takmo buat lagi pasal leceh

Cendol ni lagi satu masalah. Entah apa dia nak sangat makan cendol masa tu. Nasib dia tak minta cendol popular kat Pedas tu!

*Ni pun gambar lama masa bercinta dulu. Sanggup gi Pedas semata-mata untuk cendol aje!!

D nak cendol mamak, tapi kedai mamak tu pulak tutup. Jadi dia kena berpuas hati makan cendol melayu. hehe. Muka D mencuka aje masa tu :P

2. Alahan, Kondisi dan peel

Alhamdulillah, saya tiada alahan. Tiada juga mual-mual di waktu pagi. Sihat walafiat dengan izinNya. Masih meneruskan aktiviti seperti biasa. Cuma masa bulan ke 6 kandungan, saya tak boleh makan makanan berminyak selama seminggu. Bila makan, terus muntah. Tapi lepas seminggu tu, boleh sahaja makan sampai berminyak-minyak Hehe.

Masa awal-awal mengandung, saya amat suka tidur petang. Tapi pasal masa tu masih tinggal di rumah ibuayah, jadi ibu selalu tak kasi saya tidur petang, takut jadi habit.

Satu-satunya sakit yang saya kena sepanjang mengandung ini adalah kejang kaki, bermula pada usia kandungan masuk 7 bulan. Memandangkan saya tak pernah kena kejang kaki, jadi saya tak tahu apa yang berlaku. Nasib D ada pengalaman masuk PBSM masa sekolah dulu, jadi dia tahu apa nak buat. Dia yang tolong urutkan. Memang hampir setiap minggu, mesti akan kena sekurang-kurangnya sekali kejang kaki, sampai saya takut nak tidur malam. Biasanya, saya terus jerit sahaja kejutkan D, dan dia dalam mamai-mamai yang akan urutkan *saya sambung tidur hehe. Tapi pernah juga bila dia terlalu penat, dia cuma pakai kaki dia untuk tegakkan kaki saya, Tapi malangnya, dia tersilap kaki yang kejang. Jadi marah sikit disitu. Pernah juga cuba tips pakai stoking tutup sampai lutut masa tidur, tapi tetap tak berjaya. Sekarang alhamdulillah sudah lama juga tiada serangan dan harap-harap, tiada lagi.

Saya amat bersyukur dalam tempoh kehamilan ini, saya masih ada tenaga nak buat itu dan ini. Walau dalam tempoh saya mengandung, kami sudah mula sibuk dengan pelbagai urusan untuk masuk rumah baru, tapi alhamdulillah, saya syukur sangat-sangat, badan saya tidak lemau. Masih larat nak buat kerja rumah serba sedikit kecuali vakum dan mop rumah--terima kasih Yayang tolong B hehe, masih larat nak memasak untuk D. Cuma D aje tak mo bawa saya gi jalan-jalan shopping, takut terberanak tengah jalan katanya T.T Pergi shopping pun di luar KL dan dekat-dekat sahaja. D imun dengan teori : kalau nak senang beranak, banyakkan berjalan. Dia tak termakan dengan kata-kata tu.

Alhamdulillah, kaki saya tak bengkak. Kurang pasti apa penyebabnya; mungkin ketinggian saya kot? Entah, tapi tak bengkak jadi tiada la gambar kaki bengkak dalam rekod. Sekadar gambar perut saya aje yang nampak perubahan.

Daripada ini --18 minggu (4 bulan+)


kepada ini --23 minggu (5 bulan+)


Sehingga ini-- 38 minggu (9 bulan+)



Bila dah masuk bulan ke 9 ni, baru mudah terasa penat. Memang patut la kan, dah nak bersalin pun InsyaAllah. Cuma, saya dalam sarat-sarat macam ni pun, peel yang luar biasa saya adalah amat suka cuba resepi baru. Saya bukan seorang yang suka memasak, saya memasak hanya jika perlu; lapar, nak bawa balik Serdang atau tetamu nak datang. Tapi sejak mengandung ni, suka amat cuba resepi baru, walaupun tidak la sedasyat mana. D selalu marah, pasal dia takut saya penat sangat, tapi masa nak masak tu tak penat, dah masak baru rasa penat.

Cuci mata jap hehe. Ni sahaja gambar yang sempat saya ambil pasal nak hantar laporan memasak kat Myresepi.com tu.


Udang goreng masak brokoli --kot??


Sotong sumbat


Nasi Tomato


Nasi Makaroni


Menu macam pagi raya aje kan?! Nasi impit kuah lodeh, kunyit terlebih nampak cam kari!


Ayam tandoori dan kuah dal (sumber) tapi pakai roti pita siap :p


Apam polkadot yang gagal jadi polka dot. jadi garis-garis aje pasal besar sangat saya titikan polka dot nye. Inti pun terkeluar pasal banyak sangat hehehe. Tapi gambar tu sebelum kukus, memang nampak cantik.

3. Membesar dengan jayanya

Bakal ibu dan bayi, kedua-duanya membesar dengan jayanya. Haha.

Berat sebelum berkahwin = 61.3 kg
Berat sekarang 38 minggu = 77.6 kg (+16.3kg)

Tapi macam yang saya pernah kongsikan dalam [
Post] yang ini, mungkin kerana rangka badan saya besar, jadi tak terlalu ketara tumbesaran yang berlaku. Saya masih muat memakai seluar jeans saya sehingga bulan ke 6. Saya cuma mulakan aktiviti beli baju mengandung bila ibu kata "Apasal ko buruk sangat sekarang? Beli la baju mengandung" dan kawan baik saya Fieza kata "Haah, ko selekeh sekarang. Aku pun mengandung gak dulu, tapi tak selekeh cam ko", terus saya beli baju-baju baru.

Memang memasuki bulan ke enam dan ke atas, tumbesaran bayi (.. dan ibunya juga) memang amat cepat!


*Lihat perutku.. bulat kan?? Ni masa kandungan 35 minggu

Berat bayi 38 minggu : 3.3 kg

Tapi orang selalu kata "Keciknya perut ko". *tutup telinga baby


4. Rancangan Berpantang

Saya memang teruja juga nak mengharungi tempoh berpantang ni. Banyak komen positif dan negatif yang saya dah baca dan dengar, tapi saya tetap nak laluinya sendiri. Walaupun saya berpantang ketika semua umat islam menyambut hari raya, tidak apa. Yang penting, semua aktiviti yang disusun oleh ibu, saya dapat lalui dengan hati yang rela InsyaAllah. Memandangkan kali terakhir ibu berpantang tradisional pun 27 tahun lepas *ketika melahirkan saya. Adik saya ibu kena buat C-sec jadi cara pantangnya berbeza* jadi banyak perkara yang ibu dah lupa.

Nasib ada rujukan daripada Internet ni :
Kak Engku Bidan Bersalin, jadi semua isi-isinya yang penting, saya cetak dan beri pada ibu untuk rujukan dia.

Ibu daripada awal lagi sudah melarang saya menjahit (mungkin dia terlupa, yang saya tak pandai menjahit, apatah lagi berminat menjahit --kecuali jahit manik bling-bling pada baju), apatah lagi membaca. Pendek kata, apa-apa yang menggunakan pemikiran secara kritis dan kreatif adalah digalakkan untuk dielakkan, lalu ibu cakap "Ko jangan nak update blog nanti" --Haaappaaa???!!! Maka, rasanya besar kemungkinan tak dapat nak kemas kini blog. Tapi tak apa. Saya rasa, mungkin saya perlu buat beberapa draft terlebih dahulu dan jadualkan sahaja untuk penyiaran, kan??

5. Pemeriksaan kesihatan

Saya memang tak pernah rekodkan tarikh saya period kerana period saya alhamdulillah memang sentiasa teratur. Cuma dua bulan sebelum kahwin sahaja, baru saya simpan rekod--tu pun lepas kawan-kawan saya bebel suruh saya simpan rekod. Tapi saya cuma ingat-ingat lupa sahaja, tak pernah catat kat mana-mana. Ada yang cadangkan amik asid folik bagi menggalakkan kehamilan, tapi teori saya masa tu, asid folik akan jadikan saya gemuk, jadi saya tak mahu amik risiko tu sebelum kahwin.

Masa saya nikah dulu, saya baru habis period dan saya sempat period sekali masa bulan November tu. Masuk bulan Disember, D yang tanya saya period atau tak masa nak solat Maghrib--masa ni dah tak simpan rekod pasal malas jadi saya pun tak pasti. Akibat orang yang tak pernah simpan rekod dan tak tahu nak buat perkiraan kitaran haid, jadi saya pun biarkan sahaja walau dah lewat *agak aje dah lewat, sedangkan nak kira pun tak tau, . D tanya saya lewat ke, tapi saya yakin kata tak -- malu nak ngaku kat dia yang saya tak pandai kira. Hehe. Bila saya cerita pada kawan-kawan rapat, mereka desak saya buat ujian kehamilan, walau saya rasa macam tak perlu *dan sedikit kedekut pasal tak mahu bazir beli benda ujian kehamilan tu untuk dikencing haha. Tapi akhirnya saya buat juga -- selepas bertangguh beberapa hari pasal terlupa. Hehe

Reaksi kali pertama melihat ini.



Menangis? -- Tak
Telefon suami? -- tak
Bagitau ibu-- tak


Saya lapar, jadi saya terus gi dapur amik nasi. Itu la perkara pertama saya buat.
Kemudian masa makan nasi tu, baru terfikir, "Biar betul. Nanti nak buat ujian lagi sekali la."

..dan saya tak buat pun pasal saya kenyang makan nasi, jadi saya tidur. Tapi saya sempat MMS kepada seorang kawan rapat, dia yang mencadangkan untuk pergi ke klinik bagi dapatkan khidmat nasihat susulan.

Iye, mungkin cerita mendapatkan khabar kehamilan saya berbeza dengan ibu mengandung yang lain. Tapi begitu la ceritanya. Tiada tangisan air mata, berpelukan suami isteri, atau mana-mana adengan drama melayu diwaktu petang. Saya cuma rasa lapar dan mengantuk.

Esok harinya, baru saya bagitau ibu saya. Dia tak kasi saya bagitau siapa-siapa dulu kecuali D, sehingga melepasi trimester pertama. Memandangkan saya memang tiada simptom perempuan mengandung, memang tiada siapa mensyaki. Ayah dan abang-abang saya tahu pun ketika saya dah 3 bulan.

Tapi untuk beritahu D, saya berikan kejutan untuk dia. Memang rezeki agaknya, tanpa perancangan, saya rasa tiada waktu lebih sesuai dan romantik untuk beritahu dia berita ini selain ketika kami bercuti di Cyberjaya [Post]. Saya siap rakam video macam mana saya memberitahu D dan macam mana reaksi dia. --Tapi tak dapat nak upload pasal blogspot bengong!!!!

Pada minggu ke 9 kehamilan, saya daftar pemeriksaan kesihatan di Poliklinik Kesihatan Daerah Seri Kembangan, memandangkan masa diawal tempoh kandungan, saya masih tinggal di rumah ibuayah. Walau sekarang sudah tinggal di Bangi, saya tetap ke sana. Sekurang-kurangnya boleh melawat ibu ayah dan cium Mikail.


*Muka bosan hari-hari kena cium

Saya selesa disini, walau pesakit memang ramai.


* Ni sebelum klinik dibuka. Tapi ni bukan pesakit sakit puan, ni pesakit biasa. Kaunter asing-asing.

Tapi kalau sampai awal, tetap dapat nombor awal

*Sukses...

Tapi memandangkan saya nak bersalin di hospital yang dicadangkan oleh pihak HR tempat saya bekerja, jadi saya ada dua pemeriksaan kesihatan sekaligus; satu di pusat kesihatan dan satu lagi di hospital yang dipilih. Walaupun doktor hospital bagitau saya tak perlu lagi pergi ke pusat kesihatan, tapi saya teruskan juga pasal di pusat kesihatan ada ujian hemoglobin, tapi di hospital tu tiada. Lagipun, pergerakan jantung anak pun ada dicatat dalam buku, jadi mudah untuk orang biasa macam saya ni faham.

Saya pernah buat full scan 3D di Klinik An-Nur Bangi sekali sahaja masa kandungan mencecah 7 bulan. Sebabnya? Orang buat, saya pun nak buat, walaupun lepas tu tengok CD tu sekali sahaja. Terbang RM200. Masa scan tu, tak terfikir nak tanya apa. Tengok sahaja la doktor terangkan. Sampai jantina anak pun tak tanya, doktor yang tanya kami nak tau tak jantina bayi. Tapi doktor tu kata, sepanjang dia kerja ni, dia dah pernah kena uji banyak kali. Dia pernah scan memang nampak jantina lelaki, tapi tup-tup keluar, perempuan. Dia nasihatkan, Kun fa ya kun. Setinggi mana pun teknologi, kalau Allah mengkehendaki sesuatu jadi, maka jadilah ia. Jadi, saya dan D cuma amik pendekatan sediakan nama untuk kedua-dua jantina.

Kemudian pergi ke Sendayan, tapi bukan untuk tujuan scan, tapi nak khidmat nasihat. Doktornya kawan sekolah saya dan dia memang bagi penerangan seterang-terangnya pada saya, baik daripada ketinggian rahim, tekanan darah, hemoglobin, degupan jantung baby sampai la tanda-tanda nak bersalin. Saya selalu merujuk pada dia setiap kali lepas pemeriksaan pasal saya tak tahu nak tanya soalan apa pada jururawat atau doktor yang bertugas. Dalam rutin sibuk dia, masih sempat dia menolong saya daripada segi khidmat nasihat. Kawan sendiri, memang lain rasanya.

Di Pusat kesihatan, saya memang jarang jumpa doktor. Tak tahu la saya seorang macam tu atau memang semua orang macam tu. Saya cuma jumpa sekali masa minggu ke 17 dan tiada lagi selepas itu, sehingga la minggu ke 37, baru jumpa semula dan dijangka kena jumpa doktor setiap minggu sehingga bersalin. Saya scan pun cuma 2 kali sahaja sepanjang tempoh pemeriksaan disana - Minggu ke 17 tu dan masa minggu ke 37. Cuma di hospital sahaja yang memang sentiasa scan setiap kali jumpa. Tapi yang biasanya tengok doktor. Saya mengelamun ingat apa ntah. Mungkin katil hospital tu selesa untuk baring.

Sepanjang tempoh mengandung ni, saya cuma amik ubat Obimin yang diberi oleh pusat kesihatan. Saya ada amik Neurogain dan pil kalsium selepas disyorkan oleh kawan saya. Lain-lain, saya cuma amik susu anmum sahaja. Kadang-kadang kalau bosan dengan Anmum, saya ganti dengan susu kotak rendah lemak, kalsium tinggi Dutch lady. Memandangkan saya tak loya, jadi memang saya tak makan asam. Cuma saya suka makan epal hijau. Abang saya suruh minum air Twister *teori abang saya, air twister boleh elakkan demam kuning bayi pasal Mikail tak kena demam kuning masa lahir dan K.Rina memang minum air Twister hari-hari*, tapi saya tak suka pasal terlalu manis. Jadi saya tambah air dan minum. Tapi tu pun jarang-jarang dan kalau teringat. Kurma pun mula makan bila dah masuk Ramadhan. Haih~

Sekian, 5 perkara yang saya terlintas untuk berkongsi pada waktu ini. InsyaAllah kalau ada yang saya tiba-tiba teringat, saya selitkan kemudian ya?

Selamat berpuasa dan selamat beribadah di bulan Ramadhan ini!



10 Ogos 2011




02 August, 2011

Ramadhan Pertama



Salam dan hai

Salam Ramadhan buat semua.

Dapat Kurma yang disedekahkan alhamdulillah.. Suka!



Dapat hadiah barang baby -- terima kasih
K.Nadzrah dan Na'ilah..!!! Double suka



DiizinkanNya untuk berpuasa dan sediakan juadah berbuka dalam kesaratan ini. haha *Faisal Zakaria, kalau kau baca ini, walau perut aku dah besar tapi aku masih nampak kuali di mana.



.. dan tetap kekalkan tradisi air bandung di bulan puasa. Kenangan zaman kanak-kanak yang sangat kuat untuk kami adik beradik.



Kali pertama menyambut Ramadhan sebagai suami dan isteri. Satu perasaan yang sukar diungkap. Mungkin bila tiba masa untuk jari jemari ini berbicara, saya akan berkongsi cerita.

..dan InsyaAllah, kalau diizinkanNya, akan menyambut Aidilfitiri sebagai ayah dan ibu.


9 bulan 6 hari.



2 Ogos 2011

Saya Xora

Walaupun blog ini kadang-kadang bersawang ditinggalkan tuannya, tetapi kandungannya masih boleh diguna pakai.. cuma jangan diplagiat tanpa rela



diaterimanikahnya@gmail.com



Blog Rumah Kami

Tersurat, Tersirat

Fantasia

Majlis Sanding

Majlis Sanding
Kemas Kini: 14 Julai 2011

Majlis Nikah

Majlis Nikah
Kemas Kini Terakhir:21 Jun 2011

Bridal Shower

Bridal Shower
Klik untuk coretan penuh

Pre Wedding

Pre Wedding
Tema: 3 Zaman

Majlis Merisik

Majlis Merisik
Sederhana Tapi Bergaya

Projek DIY Kami

Projek DIY Kami
Meja Beradap dan Meja Potong Kek

Deko Centerpiece

Buah Tangan Meja Beradap

Hantaran

Bunga Tangan

Cop Mohor

Bunga Manggar

Video 'Save The Date'

Kad Jemputan

Buku Tetamu

E-kad

Centerpiece

Botol Bunga Rampai

Bingkai Gambar Ikea

Bantal Hantaran

Biskut Coklat Chip

Pasu Bunga Telur

Rozek

Jubah Mandi

Bongkah Nama

Deko Siling

Plat Kereta

Jual, Sewa, Serah


Bantal Nikah

Bantal Hantaran

Aksesori Pengantin

Bekas Hantaran Kayu

Inner Buku Tetamu
 

Dia Terima Nikahnya Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez Blogger Templates