Showing posts with label
Persiapan: Deko Majlis Sanding.
Show all posts
Showing posts with label
Persiapan: Deko Majlis Sanding.
Show all posts
NOTA: Ketika post ini dibaca, saya masih sibuk dengan persiapan-persiapan akhir kami. Jadi semua post , telah dijadualkan. Segala komen dan pendapat saya akan baca kemudian. Terima kasih.Salam dan hai
Imbas kembali Misi Sulit yang ke VII Saya serah bulat-bulat kepada kepakaran abang saya pasal buat plat-plat kereta ni, 'makanan' sahaja bagi dia.
Iye, misi tersebut: Plat kereta pengantin . Hasil sepenuhnya oleh abang saya. Saya cuma bagi idea sahaja.
Ketibaan pengantin biasa-biasa sahaja. Tiada konvoi bagai. Cuma mungkin kereta dua orang kawan D, yang juga kawan saya. Kami? Kami naik kereta Gen2 D sahaja. Takde BMW, Merc atau mana-mana kereta mewah dan antik.
Kereta D, Gen 2 yang saya bagi nama Gennie. Kereta D ada banyak pengalaman manis kami. Semua persiapan kami pun, Gennie yang bawa kami ke hulu hilir. Jadi nak abadikan Gennie dalam gambar kami. Terima kasih Nity yang meyakinkan aku walaupun Dzulq tak berjaya pujuk aku guna Gennie. Haha.
Idea buat plat ni memang dah lama saya nak, tapi tak tau nak cari vendor. Kemudian, teringat abang saya Am tu amat berbakat dalam benda-benda macam ni (bakat yang dikumpul masa zaman rempit dia haha). jadi minta dia buatkan dan dia pun ok.
Kemudian--tada! Tau-tau dah siap. Serius kagum, entah macam mana abang saya boleh buat curve pada huruf-huruf tu dengan moleknya.

Yang bahagian nama ni, letak di plat belakang. Tapi plat depan, tak guna perkataan "Just Married". Tak perlu. Bahasa Melayu ada yang bersesuaian. Nak tengok rupa penuh plat depan dan belakang, kita tunggu hari majlis ye InsyaAllah.
Masa peringkat awal perancangan, saya takut juga nak realisasikan idea ni. Idea asal, papan plat tu nak pakai kuning dan tulisannya hitam. Baru rasa macam raja sehari. TAPI tiba-tiba takut pula kalau jadi isu, Bak kata Laling "Hapa, ko ingat ko anak raja??" tup-tup masuk muka depan surat khabar "Pengantin Baru Ditahan Isu Plat Kuning". OK, tajuk tak kreatif. Tapi faham la kan, maksud saya, plat kuning memang dikhaskan untuk raja, jadi saya risau kalau akan jadi isu kemudian hari.
Lepas fikir punya fikir, saya pilih merah dan putih. Pasal? Untuk padankan dengan bunga tangan saya. Pasal saya fikir, InsyaAllah kalau sempat buat outdoor, plat kereta asal akan dipasang dan kami boleh jadikan plat kereta pengantin ni sebagai props. Lagipun, takkan la semata-mata baju kami warna kuning, semuanya kami nak taram kuning. Tak cantik juga :) Jadi nanti D boleh pegang plat kereta, saya pegang bunga tangan merah saya. InsyaAllah, lepas majlis boleh bingkaikan molek-molek, letak kat rumah. Tanda kenangan, kan?
Kami takkan letak plat ni siap-siap daripada rumah ke dewan. Mahunya kena tahan dengan polis pulak. Jadi rancangannya, InsyaAllah abang saya akan pasangkan plat sebelum kami masuk ke perkarangan dewan. Harap semuanya tidak terlalu terkejar-kejar.
InsyaAllah kalau semua diizinkan, kita tunggu hari majlis ya? Kereta ini InsyaAllah akan kami parkir betul-betul dihadapan pintu masuk dewan. Tak mungkin akan terlepas pandang kereta ni. Hihi.
25 Oktober 2010
Salam dan hai
Tugasan penting hari ini-- Ukur dewan. Bukan tugas kami pun, tapi Farid yang akan ukur.
Pakat dengan Farid, vendor pelamin kami untuk jumpa kat dewan untuk ukur pentas dan ruang makan. Farid belum pernah buat majlis di dewan ni lagi, jadi ada baik dia buat "site visit" dulu pasal kadang-kadang, cakap sahaja tak cukup nak bagi gambaran yang tepat.
Bincang.. bincang.. idea.. idea..
Hampir sejam lebih juga jumpa dia dan bincang itu dan ini. Nak sangat kongsi apa yang Farid bagi kami FOC, tapi kena selesai majlis dulu, baru saya berani nak tulis. Buat masa ini, yang boleh saya tulis, kami berharap Farid dapat memberikan perkhidmatan terbaik dia!! Berusaha Farid!!
Ada juga elok saya datang semula ke dewan ini. Dapat tengok ruang-ruang dewan. Di ruang lobi ni, baru perasan yang meja tetamu dan meja hadiah kalau nak diletakkan kena sebelah menyebelah nampaknya. Kalau nak letak bentul 'L', tak cukup ruangnya.

Sambil tu perhatikan ruang nak letak bunga manggar kat pagar dewan, kerusi lebih nak letak bahagian dalam dewan dibelakang, dan macam-macam lagi.
Kemudian saya perasan ini di sudut hujung dewan.

Dewan majlis kami ni, bukan dewan eksekutif. Lantai dewan pun siap ada garisan gelanggang badminton. Tapi tak apa, terima seadanya. Nasib ada dewan :)
Jadi whiteboard kat atas tu, digunakan untuk tulis markah perlawanan yang biasanya dibuat dalam dewan ni pada hujung minggu dan waktu malam.
TINGGGG! Dapat idea.
Teringat gambar-gambar yang saya pernah tengok kat Internet



Memandangkan bunting saya cuma satu, maka kalau guna whiteboard ni, bunting tu boleh gantung di pagar dewan di post guard, jadi tetamu senang nak yakinkan diri mereka di majlis yang betul.
Kemudian, kat dewan ni, ada dua whiteboard. Jadi ingat, satu nak letakkan di bahagian pintu masuk dewan, tulis sahaja macam contoh dibawah.


Yang lagi satu, nak letak berdekatan dengan meja guestbook. Mula-mula, rancangnya nak pakai bingkai untuk letakkan kata-kata aluan kat meja guestbook. Tapi fikir, takut juga pihak dewan marah kalau ada kesan selotape ke apa. Jadi dah nampak whiteboard ni, baik pakai sahaja white board ni. Besar pun memang memadai untuk tarik perhatian orang. Jadi tulis pantun tu kat whiteboard ni sahaja. Kemudian kat ruang letak marker pen, boleh ganti dengan hiasan bunga atau batu sungai sikit macam kat bawah.

Deko simple sahaja mencukupi. Macam ada banyak sangat masa !
Jumpa dengan staff pihak dewan. Dia kata, InsyaAllah takde masalah nak guna whiteboard tu. Lega, Alhamdulillah. Harap semua OK sehingga majlis selesai. Tak mahu letak harapan menggunung. Rilek sahaja dulu.
Kemudian, dah finalize dengan Farid, bayar 50% deposit, kemudian kami ke Mines untuk urusan lain pula.
Naik penimbang. Saja gatal.

.. dan saya dah hilang semula berat saya yang 1 kg susah payah saya cuba naikkan hari tu. Saya rasa, mungkin pasal saya masak biskut 4 hari berturut-turut (teori tak logik) Jadi bantai makan kentaki dengan hati senang. dua minggu lagi, tak sempat lemak nak berkumpul kot . Suka suka
Isnin ni InsyaAllah amik baju sanding pula. Memang mahu siapkan semua urusan kalau diizinkanNya, seminggu sebelum majlis. Jadi boleh la saya dan D buat perintah berkurung daripada satu sama lain. Hihi.
Esok--InsyaAllah nak pergi spa!!!!!! Sebagai upah kepada diri sendiri berjaya habiskan projek 2,000 keping biskut. Hihi
Nota: Farid tanya saya, "Kak ada blog ya? Ada kawan saya bagitau". Reaksi saya = jadi keras kat situ. Erm.. Terus sengih sahaja saya. Haha. Sebenarnya, saya tak pernah bagitau mana-mana vendor saya yang saya menulis blog, melainkan mereka terjumpa sendiri. Ada sebabnya. Nanti lah saya kongsi ya.
Mungkin dalam beberapa hari nanti, saya nak tulis tentang post bila ramai orang dipejabat dan kawan setaman yang terjumpa blog saya secara tak langsung dan saya keras. Akukah Tanggang??? (Reen dan Laling, topik hangat kita sekarang kan?)
16 Oktober 2010
Salam dan hai
3 Bulan 3 minggu dan 1 hari yang dulu, saya pernah tulis tentang rancangan ayah nak letak bunga pahar kat tengah-tengah ruang antara dua pintu ini. Lokasi yang saya bulatkan dibawah ini.

Masa majlis abang saya dulu, saya letakkan bunga rampai.
Majlis saya, InsyaAllah ayah ibu nak letak bunga pindang kat tengah situ.
Saya ingatkan mereka gurau sahaja. Tapi bila tengok kesungguhan mereka cari barang-barangnya di Nilai, rasanya mereka memang serius. Ayah terutamanya, asyik sibukkan telur pindang dia --tipikal Johor mungkin. Dia nak juga selitkan telur pindang dia dalam majlis.
Saya tak pernah bertanya tentang projek ini pasal saya tak faham dan tak amik tahu sangat--sehingga la awal minggu lepas, tiba-tiba baru perasan ada benda alah ni kat tengah dunia! Saya pun tak tahu macam mana ayah buat ni.

Yang saya nampak masa belek-belek, dalam tu ayah pakai benda putih (alamak, apa namanya?? masa nak taip ni pulak lupa!) yang orang selalu guna untuk cucuk bunga manggar. Ayah gabungkan, ikat dengan wayar, kemudian lilit lagi dengan selotape untuk cengkaman lebih kukuh. Ni tips dapat daripada kakak kedai di Nilai yang tak lokek ilmu alhamdulillah. Nak tanam dahan pada pasu ini, ayah guna kapur. Ni bukan simen. Tak tau juga macam mana ayah buat. Tapi ayah kata, lepas majlis, kapur ni boleh pecahkan dan pasu masih boleh diguna.

Rasanya tunggu hari sahaja untuk cucuk semua bunga telur. Saya tak tau nak ulas macam mana pasal bila balik kerja, benda tu sudah siap.
Hiasan bahagian atas pasu ni lebih kurang macam ni nanti rupanya.

Lepas cucuk lidi bunga telur.


Nuriah, masih kah ko ingat bunga telur ini????!!
Bunga telur untuk pasu bunga pahar ini akan ada pelbagai bentuk dan jenis. Jadi pilih yang mana berkenan di hati. Semua bahan adalah kitar semula. Mungkin akan kelihatan agak kucar kacir kerana berbeza warna, saiz dan ukuran. Tapi yang penting, impian telur pindang ayah InsyaAllah tercapai.
Jadi, kepada mereka yang bakal hadir (InsyaAllah) ke majlis saya nanti (bloggers dan kawan-kawan setaman yang membaca secara sembunyi ni!), suka untuk saya ingatkan, jangan segan-segan ambil bunga pindang tu nanti. Self service tau, tiada dayang yang akan bagi. Pasal kami faham, tak semua orang nak bunga telur, apa tah lagi telur pindang (walau saya sendiri memang tak makan telur pindang, tapi kalau diberi saya pasti amik dan bagi pada ayah. Harus la kan, orang Johor kena pandai makan telur pindang!) , jadi atas kerelaan masing-masing sama ada nak atau sebaliknya.
Ayah terfikir, takut-takut tetamu takut nak amik dan sekadar pandang pasu bunga telur ini. Ayah minta saya tulis "Sila ambil satu" tapi saya rasa macam terlalu tak berlapik ayatnya, jadi saya pun google, dan terjumpa satu pantun yang sesuai mempelawa tetamu amik bunga telur ni. Kena ubah suai sikit rangkapnya untuk masukkan perkataan "bunga telur" (tapi saat ini, berbelah bagi nak pakai perkataan "bunga telur" atau "telur pindang"). Saya cetak elok-elok dan gunakan sahaja bingkai gambar Ikea yang ini. Nanti boleh tampal kat dahan bunga telur ini.
Tunggu ye selepas majlis, saya kongsikan rangkap pantun tu.
Ingat ya, telur pindang di sini adalah terhad. Dalam 300+ sahaja, berbanding tetamu 2,000 orang. Cepat-cepat, sampai sahaja, terus bawa lari setangkai ok.
Nailah, satu sahaja ya, bukan setandan tu!!!
Nota 1: Selamat hari jadi yang ke 26 buat Ibzani Amri yang jauh di Pasir Gudang. Menua la dikau!!!! hahahah..
Nota 2: Akan datang, saya nak menulis tentang "Saya Sekeping Biskut" dan "Tips Mengedarkan Kad Jemputan kepada Cik Bedah" .
13 Oktober 2010
Salam dan hai
Meja beradap sudah diputuskan kena DIY, pasal poket tak cukup gebu untuk upah orang. Sudah merisik sana sini, harga rata-rata dalam RM350 ke atas untuk bunga hidup. Oleh itu, mari kita berpijak dibumi nyata. Saya tak idamkan gubahan yang meriah dan sarat. Tiada kemahiran dan pengalaman, maka tiada la gubahan bak profesional.
Bila tengok blog-blog B2B yang pernah ulas meja beradap DIY kat majlis sendiri dan majlis orang lain, saya rasa, perkara ni boleh direalisasikan. Tak perlu terlalu dasyat, cukup menyuntik seri pada kekosongan meja tu.
Memang payah, tapi tak mustahil.
Kali ni nak kongsi tentang garapan idea untuk DIY Meja beradap kami.
Saya dah tak ingat bila saya beli bekas putih ni. Tapi yang pasti, saya beli di SSF, akhir tahun lepas. Asalnya, ini untuk tempat letak abu rokok. Tengok di kiri kanan bekas ada lekuk, tu untuk letak batang rokok. Tapi saya rasa amat la tak praktikal. Abu rokok boleh terbang kalau permukaan macam ni. Saya memandang daripada sudut berbeza. Saya rasa sesuai ni dijadikan deko segera. Saya beli 6 bekas dan setiap satunya harga RM0.75 sen.

Iye, tak tipu. Memang 75 sen. Saya suka beli barang murah dan rezeki pula, mereka nak habiskan stok. Dah terfikir, selepas majlis, kalau nak dijadikan cenderamata pun boleh, macam kat bawah ni

Sumber: Google images
Rancangnya, bekas putih tu boleh la diletak bunga rampai, beserta sekuntum dua bunga ros.-- Ok tipu aje. Tak rancang nak buat macam mana. Tak apa, nanti idea pasti akan muncul.
Ini pulak, bekas baru beli di Jusco. Jualan untuk hari raya agaknya. Saya suka pasal materialnya kaca. Jadi beli, harga dalam RM7.00+, untuk empat bekas. Ni pun bakal diletak di meja beradap. Disusun elok-elok. Dekonya? Tak apa. Google images kan ada *senyum

Muka Mikail di latar belakang sebagai hiasan yang comel.
Idea asasnya macam ni

Sumber: Google images
Lepas majlis, bekas ni semua boleh diguna untuk jadikan tempat letak garam dan gula.
Yang ini, idea terakhir tapi paling penting. Bekas kaca diletak dihadapan kami. Saya tak pandai nak gubah bunga jadi, idea kami, buat deko yang mudah dan praktikal.

Dalam gambar ni, bekas tu berbalut pula. Bekas dibeli di Ikea. Berkenan pasal kacanya tebal.
Tak apa la. Tunggu hari majlis aje insyaAllah.
Tiada apa yang meletup. Semuanya biasa-biasa sahaja. Sepadan la, kami pun orang biasa-biasa sahaja.
Yang paling penting, semua barang-barang ini, kami boleh pakai semula dirumah kami nanti. Baru la betul-betul praktikal. Sekurangnya, bila tengok semula barang-barang ni, teringat saat indah dimeja beradap~~ ayat takmo kalah!
Kita tengok macam mana ye nanti. Dah maklumkan kat abang saya, dia yang kena deko semua ni. Dia cam kaget ;p hihi pasal tak dapat bayangkan saya nak macam mana. Jadi sekarang dalam proses nak lukiskan visual deko meja beradap untuk dia.
1 Oktober 2010
Salam dan hai
Centerpiece??
Memang pernah berangan, tapi tak fikir perlu realisasikannya.
Sebab?
Saya rasa macam semak pula kat meja tetamu, yang memang sudah sedia ada tempat basuh tangan dan cawan+air ditengah-tengah tu.
Lagipun, kos tambahan yang tidak perlu.
Tahu, ada banyak sudah idea baru untuk centerpiece yang murah dan mudah. Cuma saya fikir, kalau kos itu dikali dengan semua meja tetamu, agak sakit mata gak pandang digit tu nanti.
.. Sehingga la kes kad saya orang kedai cetak lebih seribu.
Saya pandang kad saya. Kad saya pandang saya.
Saya pandang kad saya. Kad saya pandang saya.
.
.
.
.
Saya pandang kad saya. Kad saya pandang saya.
Tak tahu nak buat apa.
Kemudian fikir, nak cuba buat centerpiece.
Selotape punya selotape.

Ok siap. 34 keping centerpiece DIY-cukup-lulus. Bahagian dalam centerpiece belum kemaskan.

Kos:
Kad percuma
Riben pakai riben yang saya reject untuk kad kahwin pasal ada yang terpotong pendek, jadi tak dapat nak ikat kad.
Boleh tabur bunga melur dan kelopak bunga ros sikit atas meja mengelilingi centerpiece tu. Siap la.
Ini dinamakan centerpiece 'terjun'. Tak rancang, tapi tiba-tiba ada.
.. apa la aku nak buat dengan 800+ keping kad ni lagi..
Nota: Nak tau tips bekerjasama dengan OP? Boleh baca tips dikongsi oleh Acai [Post penuh disini]
Mood: Malas pasal demam hari ni
28 September 2010
Salam dan hai
Rasanya, post ini post pertama yang saya buat previu (rasanya perkataan ini tak sesuai, tapi tak tahu dah nak pakai perkataan apa) tentang Misi Sulit saya.
Tapi tak mengikut susunan pula ;p Terus lompat ke Misi Sulit ke Empat.
Masa saya post Misi Sulit yang ini, ramai dapat agak, ianya tentang bunga manggar.
Memang bunga manggar dan terima kasih kepada idea asal daripada K.Shaja. Dia ajar tutorial dalam web dia:
DIY bunga manggar.
Walaupun kedua-dua famili setuju tak mahu bunga manggar di bawa berarak dalam dewan, saya tetap nak pakai bunga manggar. Masa kecik dulu, bunga manggar adalah tumpuan paling utama saya. Kalau dapat pegang sebatang lidi bunga manggar, memang kembang betul hati! Tapi memandangkan masa kecik masih pendek dan tak sampai nak capai bunga manggar, jadi saya selalu amik bunga manggar yang jatuh kat lantai. Kemudian dok lambai-lambai daripada tingkap kereta, berlagak dengan budak-budak lain yang tak dapat ;p
Kenangan..
Memandangkan bunga manggar sudah ditolak, jadi saya kurang berfikir mahukan bunga manggar yang bagaimana. Sehingga la saya ke kedai Fah Lean di Balakong. Tujuan untuk cari benda lain, tapi memandangkan ada masalah komunikasi dengan jurujual tu, lain yang saya nak lain yang dia tunjuk, terus saya dapat idea nak DIY bunga manggar sendiri. Teringat post K.Shaja tu yang pernah saya baca.
Berterima kasih pada jurujual yang tunjukkan benda lain ;p
Rezeki agaknya, pasal bunga ni memang untuk penghabisan stok. Tapi kuning cuma ada 2 peket sahaja. Jadi saya campurkan dengan yang silver, 3 peket. Harga setiap peket, dalam RM1.20/ 25 keping sepeket. Saya buka tutorial k.Shaja dan saya fikir, memandangkan kelopak bunga saya ni lebih besar, jadi saya pun potong dua. Lagi banyak dapat kan?

Saya tak beli tape putih lagi pasal ada baki daripada penggunaan masa majlis merisik dulu. Nasib simpan!

Kalau nak amik gambar langkah demi langkah, tak sempat pula. Yang saya amik, gambar dah dipotong dan dawai dah digam
(Perhatian: ada watermark yang buruk ;p Malas nak tukar font)

Lepas tu, gulung elok-elok ikut kesesuaian kelopak.

Dah dapat bentuk kuntum yang kita nak, gamkan elok-elok. Kemudian lilit dengan tape bunga putih tadi

Dah siap lilit.

Berpandukan tutorial K.Shaja, saya pun satukan kelopak demi kelopak. Tapi tak dapat letak serapat yang K.Shaja punya pasal bahan-bahan pun terhad. Jadi sebatang lidi, cuma ada 6 kelopak sahaja.
Penat juga, letih mengumpil. Bergam-gamkan jari jemari. Malam-malam, SMS d ngadu tiada siapa nak tolong saya. Meracau-racau jap. D suruh tidur. Tapi saya tak mahu. Sambung buat esok harinya.
Bila dapat hasilnya--puas hati *senyum. Walau tak sama macam K.Shaja, tapi hasil tangan sendiri memang tiada bandingan.

Maaf la, latar belakang tak mengasyikkan pasal tengah teruja nak tunjuk kat ibu yang tengah basuh baju kat luar dapur. Hihi
Kelopak dan lidi belum dikemaskan. Tu yang macam tak semenggah sahaja.
Memandangkan bunga manggar yang terhasil pun tak banyak sangat, jadi, ingat nak campur sekali bunga manggar tradisional yang biasa kita lihat tu untuk bahagian bawah bunga manggar. Bahagian atas baru letak bunga manggar DIY ni. Sekurangnya, merasa buat DIY bunga manggar.
InsyaAllah, tunggu hari majlis nanti ya kalau tiada halangan. Buat masa ni, saya dah tak kisah macam mana rupanya lepas abang saya susun nanti.
Bunga manggar ni semua sudah saya gulung dan simpan dalam stor, ditanda ikut jenis dawai. Harap abang saya boleh susun bunga manggar ni dengan jayanya.
Tak perlu nak sempurna, cukup tak sakit mata memandang. InsyaAllah, bunga manggar ini akan diletak di gate utama dewan, mengalukan kedatangan tetamu.
23 Ogos 2010