Saya nak buka label baru. Saya namakan Perkongsian Hidup. Dalam label ni, saya nak coretkan apa-apa yang saya jumpa daripada google atau pengalaman sendiri dalam menguruskan perkongsian hidup bersama pasangan.
Apa yang saya maksudkan dengan 'perkongsian hidup' ini adalah, bagaimana menggabungkan dua cara hidup berbeza menjadi satu apabila sudah mula tinggal bersama. Rasanya setiap pasangan yang sudah berkahwin, mesti ada cara-cara masing-masing dan apa yang saya kongsikan, adalah cara saya dan D. Sekadar berkongsi dan bertukar pendapat dengan pembaca-pembaca lain di luar sana dan untuk beri pengenalan awal kepada bakal-bakal pengantin
Untuk topik pertama dibawah label ni, saya nak kongsi tentang isu: Almari Baju.
Masa tinggal dirumah ibu ayah saya, kabinet almari bilik saya memang jenis terbina dalam. Pemilihan ruang dalam almari memang ayah dan ibu yang pilih. Saya balik-balik daripada UiTM (masa tu masih belajar lagi), dah siap. Maka susun aje baju-baju saya dalam tu. Bila dah kahwin, maka kena la terima 'ahli baru' iaitu baju-baju D. Untuk memudahkan penceritaan, saya menguruskan baju-baju kami lebih kurang seperti dibawah *Gambar ni aje sesuai untuk diletak dalam penceritaan ini hehe
Memang berkecamuk. Daripada kiri ye kawan-kawan, ruang situ muatkan jubah solat D dan campur dengan baju kurung saya yang sudah digosok. Yang ruang ditengah pula, baju saya majoritinya, tapi ada juga barang D seperti stoking dan pakai dalam. Tu pun bersepah juga kedudukannya- baju dalam semua di ruang bertingkat, dan stoking di dalam laci berkubikel. Ruang belah kanan pula, baju kemeja D dan pakaian basah dia, dan tetap saya selitkan baju-baju jalan saya. Hehe
Pendek kata, bila tiap pagi D nak bersiap, dia perlu mulakan pergerakan daripada tengah almari dan menuju ke sebelah kanan untuk baju kemeja. Tak campur lagi kalau dah balik kerja, D nak pakai baju basahan, saya lipat dan memandangkan takde ruang lain, kena letak di bahagian bawah. Jadi kasihan pulak tengok D terbongkok-bongkok cari baju dia.
Terasa juga diri pentingkan diri sendiri pasal tak mahu berkongsi ruang dengan D hahaha.. Semua ruang saya nak kuasai. Barang-barang dia cuma dipinggiran aje *Saya mempertahankan diri dengan kenyataan "Baju perempuan banyak dan bukan salah B tudung ada banyak ton warna pasal baju kurung corak-coraknya berbeza*
Tapi masa tu saya tak kisah sangat pasal saya tahu semua ini sementara waktu sahaja, sehingga kami pindah ke rumah kami dan ada almari baju kami sendiri.
Jadi sementara belum jumpa almari idaman kami, saya pun mulakan proses mengumpul maklumat. Walaupun saya tahu, saya takkan pilih almari terbina dalam atas faktor:-
1. Kos
2. Kami belum pasti keperluan ruang kami pada masa akan datang
Tapi tetap, saya mahukan kebebasan untuk memilih ruang pembahagi di dalam almari tu.
Maka, saya pun memulakan operasi mencari susun atur ruang dalam almari. Antara gambar-gambar yang menjadi rujukan saya.
Sumber: Google images
Merujuk gambar-gambar daripada Internet, tambah dengan almari sedia ada kat rumah ibuayah saya, jadi saya tahu keselesaan saya macam mana *Ye, saya. Bukan D pasal D tak kisah pun. Hehe. Katanya, saya yang akan lipat baju, jadi biar saya yang susun ikut kehendak saya.
Perkara jadi mudah bila D dah jumpa almari idaman dia, saya pun dah tahu nak ruang dalam almari yang macam mana.
Gambar kenangan D berjumpa dengan almari idaman dia.
Kalau tak silap saya, almari ni 8 kaki kali 9 kaki kali 2 kaki setengah(kot?). Memang ada ruang sedikit diantara atas almari dan siling bilik tapi tak apa, pasal sudah ada rancangan nak buat apa dengan ruang kosong tu. Kami sengaja pilih almari yang berkaca walaupun memang ada risiko pecah kalau ada kemalangan. Tapi, kaca tu kami pilih jenis yang bertingkat-tingkat, jadi kurang sikit risiko bila pecah, berderai semuanya. Kaca untuk ruang nampak luas dan menyingkirkan keperluan untuk meja bersolek dalam bilik kami. Berbanding meja mekap, cermin almari ni penampilan daripada hujung rambut ke hujung kaki boleh amati. Hehe. Jadi jimat dari sudut kos dan ruang.
Walaupun rata-rata gambar yang saya jumpa dalam internet kurang praktikal kepada cara dan koleksi pakaian kami, tapi bila terjumpa idea kasar daripada gambar google dibawah ni, saya pun memulakan operasi saya.
Sumber: Google images
Ini susunan almari kami
Pembahagian ruang dalam gambar di atas kurang tepat berbanding saiz sebenar almari kami pasal saya tak pandai nak lukis pembahagian ruang setepanya. Hehe. Ikutkan ruang almari saya lebih lebar tapi tak tinggi dan D punya pulak lebih tinggi tetapi tidak lebar*Memang tak reti lukis.
Saya pilih susunan ikut mana yang saya selesa. Sebagai contoh, Baju kurung, saya memang jenis suka melipat baju kurung dan hanya gantung baju yang sudah digosok dan Baju jalan saya letak tingkat dua daripada bawah ----sebabnya? saya akan mengambil masa nak fikir baju mana nak dipakai, jadi berdiri memenatkan. Duduk akan kasi saya ketenangan memilih hehe.
Tapi kali ni, saya tak mahu sentuh bahagian saya kerana saya yakin, mana-mana perempuan pun arif cara nak susun barang masing-masing kan? Kita bercerita tentang barang-barang dan pakaian encik suami kita.
Untuk ruang D, seperti dalam rajah diatas, saya letakkan jersi dan baju jalan jenis t-shirt berkolar diruang yang sama kerana kedua-duanya D selalu buat jalan-jalan.
Ni baju basahan D. Saya letakkan yang hitam-putih-kelabu di bahagian belakang; dan yang bewarna dibahagian depan. *saya memang suka lipat baju.
Walau saya letak bertindih depan belakang, tapi ada ruang kosong ditepi untuk memudahkan D alihkan susunan didepan ke sudut tepi kalau dia nak amik yang dibelakang, tanpa mengganggu lipatan saya~ *Dah susun ikut ton warna, tapi ni mesti D dah punggah.
Niat dihati mahu dapatkan susunan sekemas ini dan pelbagai ton warna
Tapi mungkin belum tiba masanya~~* dan D hanya suka warna putih-hitam-biru . Kalau ada warna-warna lain tu, saya la yang membelinya.
Untuk barang-barang peribadi D, amatlah mudah pasal dia lelaki dan tak peduli benda-benda macam ni *suamiku bukan metrosexual rupanya~. Cuma perlu bekas plastik di Ikea ini dan letakkan barang-barang D ikut kategori; macam pass pekerja, minyak wangi, tali pinggang *satu aje, boleh tak??!! dah minta dia beli tambah koleksi, dia kata tak perlu. Haih, sikat (walau D selalu main campak juga akhirnya) *Ada projek DIY untuk cantikkan bekas ini tapi masa belum mengizinkan.
Kain pelekat, dulu saya lipat, tapi pasal D suka amik ikut pilihan warna yang dia nak, maka saya gulungkan macam ni pasal kalau D nak amik kain pelekat yang mana satu sekali pun, yang lain masih kekal dalam bentuknya. Walaupun mungkin tak sekemas melipat, tapi ini sahaja teknik yang dapat kurangkan muncung mulut saya bila D main punggah mana-mana yang dia suka dan D cepat-cepat kemas semula bila nampak saya nampak dia main punggah..!
Oh ye, saya letakkan ruang tingkat-tingkat saya beli di Jusco lama dah, untuk isi pakaian macam baju dalam, stoking, kain pelekat, aksesori (butang baju melayu D) dan tali leher. Saya susun tingkat ikut kekerapan penggunaan pakaian-pakaian tersebut juga.
Baju kemeja D memang semuanya saya gantung buat masa ini. Mungkin kalau koleksi kemeja D makin bertambah, mungkin ada yang perlu saya lipatkan *tu nanti baru fikir. Hehe.
Nampak tak ada kertas disangkut pada penyidai tu? *objek berada kira-kira objek ke tujuh daripada kiri. Tu adalah pembahagi antara baju kemeja dah gosok dengan yang belum gosok. Walaupun D kata tak perlu pasal dia kata dia tahu bezakan; kalau kemeja dah gosok, lehernya saya akan lipatkan dan kalau yang belum, lehernya masih macam baru sidai.
Tapi saya nak juga letak pasal saya suka idea dibawah ni. Dapat daripada mana ntah dah lupa :P Tip Junkie rasanya~
Memandangkan saya belum sempat DIY, jadi saya gunakan kertas yang macam tetamu hotel letak kat pintu hotel untuk 'Jangan Ganggu' masa gi berbulan madu. haha. Masih ada niat mahu DIY *tapi banyak projek belum terlaksana.
Oh ye, saya memang akan gosok baju kemeja D sekurang-kurangnya 10 helai sekaligus. Bagi memudahkan dia nak pilih baju mana dia nak pakai. Dulu masa tinggal kat rumah ibu, saya gosok 5 helai aje terus untuk seminggu, tapi kesian pulak bila tengok, dia nak pakai kemeja yang satu lagi, tapi saya belum gosok. Maka pengajaran saya, gosok aje banyak-banyak *terutama kalau ada sterika wap yang best giler dan boleh selesaikan rutin menggosok 10 helai baju kemeja dalam masa kurang 45 minit. Suka~~!. Isu tentang rutin menggosok baju, tu nanti saya akan kongsikan dalam post mendatang.
Jadi ini la serba sedikit tentang perkongsian almari kami berdua. Perkara ni memang hal kecil, tapi tetap merupakan proses pembelajaran. Lelaki biasanya tak mengisah sangat dan mengharapkan perempuan yang uruskan hal remeh ni. Cuma kita sebagai isteri, kadang-kadang kena peka dengan "perkara yang tak diucap" melalui perbuatan suami. Ada masa, kalau kita tengok dia dah mula ubah kedudukan barang daripada rak 2 ke rak 1, tu menunjukkan yang dia lebih selesa dengan penyusunan yang sebegitu *walau kat mata kita rasa cam tak best aje~.
Jadi soalan saya pagi ni: buat mantan pengantin, macam mana pula pengalaman korang menerapkan dan menyusun baju-baju suami korang? Mungkin kita boleh kongsi disini. Saya pun masih perlu banyak belajar dan mana tahu, mungkin saya boleh ambil kira pengalaman kamu-kamu semua :D buat bakal pengantin, macam mana pula perancangan korang?
Nota: insyaAllah, masih ada banyak topik yang ingin saya kongsi dibawah label perkongsian hidup; pengendalian rutin memasak selepas waktu pejabat; penyusunan barang-barang dapur dan macam-macam lagi. Cuma perlukan masa (dan teknologi~~ tiada internet dan komputer di rumah rasa macam loser giler~~) untuk mengarang. Harap pembaca tak bosan dengan topik baru ini ye, yang mungkin lari sedikit daripada persiapan perkahwinan dan lebih kepada kehidupan selepas berkahwin. Tapi mungkin ada yang dapat saya kongsikan dengan bakal pengantin.
28 April 2010