Salam dan hai
Baru-baru ini, saya sempat mendengar motivasi pagi di satu stesen radio. Walaupun saya cuma berkesempatan untuk dengar ditengah-tengah cerita, tapi saya rasa topiknya amat menarik.
Perbezaan antara realistik dan optimistik.
Untuk rekod, maksud realistik dan optimistik mengikut DBP
realistik /réalistik/: berhubung dgn kenyataan atau menunjukkan keadaan yg sebenarnya:
optimistik : penuh harapan baik dlm menghadapi sesuatu:
Berapa ramai diantara bakal pengantin yang rasa, optimistik itu lebih penting daripada realistik? Berapa ramai pula yang beranggapan realistik itu perlu mendahului sifat optimis seseorang itu?
Dimana sempadan dan had kedua-duanya?
"Ok, saya mampu uruskan gubahan hantaran malam sebelum majlis pernikahan, sempat kemaskan bilik pengantin pada pagi majlis pernikahan dan pastinya saya berjaya uruskan deko dewan untuk majlis persandingan pada hari esoknya".
Ya, seorang bakal pengantin yang sangat optimis-- tapi adakah dia sudah cukup realistik? Bagaimana jika tiba-tiba berlaku perkara atau gangguan yang tidak diduga muncul di saat-saat akhir, seperti bekalan elektrik terputus pada malam gubahan hantaran patut dimulakan, atau pengantin terbangun lewat sebelum sempat mengemas bilik pengantin, mungkin juga gubahan bunga dan deko yang akhirnya kelihatan tidak sesuai dengan keseluruhan tema majlis.
Si optimis diatas adalah diri saya yang dahulu. Tanpa mengambil kira risiko dan kejadian yang tidak diundang, saya menetapkan perancangan ini, tanpa ada rancangan sandaran lain. Alpa kemampuan diri 100%. Tapi saya bersyukur, pengapit saya sentiasa ada disisi untuk mengheret semula kaki saya yang terapung-apung untuk kembali berpijak di bumi yang nyata.
Ya, saya optimis saya mampu melaksanakan apa yang saya rancang, tapi saya terlupa untuk meletakkan realiti yang perlu saya semuka, iaitu mustahil untuk saya melaksanakannya seorang diri. Kekangan daripada segi tenaga, masa, kreativiti dan bakat memustahilkan saya untuk menyudahkan apa yang perlu. Itu kenyataannya. Disini lah muncul bantuan daripada pengapit, kaum keluarga dan pasangan saya sendiri yang memenuhi ruang-ruang kosong yang tidak mungkin mampu saya isikan.
Tidak akan kurang optimistik seseorang jika dia berfikir realistik dengan merancang Plan B, Plan C dan seterusnya, kalau-kalau Plan A nya tidak berjaya.
Tidak akan kurang optimistik bakal pengantin itu jika dia secara realisitiknya mengakui dia tidak mampu melaksanakan sesuatu rancangan itu sendirian.
Bagi saya, bersikap realistik adalah lebih penting daripada optimis. Realistik yang meletakkan sifat kemanusiaan dalam diri manusia kita. Realistik yang menjadikan diri seseorang itu kreatif menyelesaikan masalah yang timbul, siaga menghadapi kemungkinan kegagalan.
Optimis, jika tidak kena dengan acuannya, bukan sahaja menyebabkan kita tidak berpijak dibumi yang nyata, malah bersandarkan azam semata-mata tanpa menetapkan ukuran kemampuan kita dan situasi untuk menyusun strategi, sememangnya tindakan yang memperjudikan segalanya.
Ingat, optimis dan redha pada Nya adalah dua perkara yang berbeza.
Jadi, buat bakal pengantin yang sedang ligat merencana persiapan masing-masing, fikirkan sejauh mana realistiknya sifat optimis kamu semua. Daripada 10 senarai DIY kamu, berapa yang kamu mampu laksanakan secara realistiknya? (kerana saya tahu, secara optimisnya, sudah pasti kesemua 10 senarai itu kamu mampu laksanakan, kan?) Fikir sejenak, sama ada kamu perlu atau tidak menyenaraikan rancangan sandaran jika rancangan utama kamu tidak tercapai.
Seperti yang pernah saya tulis di post-post sebelum saya berkahwin, berpijak dibumi nyata itu tetap masih indah.
16 May 2012