21 July, 2011

Rutin Memasak: Edisi Pertama


Salam dan hai

AMARAN: Post ini amat panjang. hehe

Saya percaya, berpindah ke rumah baru, duduk berdua, memang dinanti-nantikan oleh semua pasangan pengantin baru. Segala-galanya bebas, tiada had antara suami isteri. Kita bebas nak bangun lewat, bebas nak tengok tv sampai lewat malam, bebas nak main kejar-kejar (oopss!) bebas nak mandi sama (double oops!)--- sesuatu yang mungkin terbatas untuk kita buat di rumah ibu ayah.

Namun dalam nak seronok untuk tinggal berdua, kadang-kadang kita terlupa perubahan frasa yang kita akan hadapi. Perubahan frasa daripada "semua telah disediakan" kepada "semua kita kena sediakan". Tambah membingungkan jika kita tak tahu daripada mana nak mula.Frasa hidup yang memang mencabar dan menuntut kesabaran dan minat untuk belajar.

Saya percaya, pasti ada mantan pengantin yang mengalami simptom 'kejutan budaya' masa awal-awal tempoh perkahwinan mereka, terutama mereka yang menumpang dahulu di rumah ibu ayah. Selama ini, tinggal di rumah ibu ayah, sedar atau tidak -- tak semua perkara kita akan buat. Kebanyakkan kita pasti ada ibu yang menolong dalam senyap. Kita basuh baju, terlupa nak sidai--ibu selesaikan. Kita nak masak, ibu dah tolong siap basuhkan ayam bersih-bersih.

Tapi apabila berpindah tinggal berdua, ibu hanya boleh tolong kita daripada corong telefon-- berikan kita resepi menu sekian-sekian. Ibu dah tak boleh tolong kita timba kuah lemak sementara kita basuh sayur. Ibu dah tak boleh nak tolong tengokkan ikan, sementara kita basuh pinggan. Semuanya kita-- diri sendiri kena uruskan. Dan kita bukan uruskan diri sendiri, tapi kena uruskan encik abang, si suami yang suka melayan TV ketika kita sedang sibuk di dapur *Hint untuk Yayang. Tapi nasib baik dia amat rajin basuh pinggan. Cuma temankan saya di dapur, dia mudah bosan :P

Tapi saya percaya, apa sekali pun tugas rumah, kalau kita telah ada teknik yang betul dan bersesuaian dengan cara kita, insyaAllah, tak akan jadi masalah dan kita lebih mudah menguruskan hal rumah tangga.

Terdahulu, saya telah kongsikan kisah rutin membasuh dobi dalam post ini {
Post} dan teknik menyusun baju {Post} dengan pembaca blog ini dan sekarang saya nak berkongsi pula tentang rutin memasak.

Tapi, sebelum saya menulis dengan lebih panjang lebar, jom kita cuci mata dengan gambar-gambar dibawah yang menjadi inspirasi saya.















Satu persamaan gambar-gambar diatas: Teknik pengurusan stok yang kemas dan berkesan

..dan itulah topik untuk edisi pertama Perkongsian Hidup: Rutin Memasak. Saya rasa ada eloknya saya menyentuh dahulu tentang pengstoran barang-barang dapur, baik basah mahupun kering sebelum menulis tentang rutin memasak. Bagi saya pengstoran barang/ bahan memasak adalah sama penting dengan memasak. Teknik pengstoran yang betul dapat menjimatkan masa kita untuk mencari/ memeriksa/ merancang dan mengelakkan kita membeli barang yang sudah ada di dalam stok atau terlupa tentang barang tersebut sehingga ianya melepasi tarikh luput.

Nak sediakan makanan, kena sediakan menu dulu.
Nak sediakan menu, kena beli bahan dulu.
Nak beli bahan, kena sediakan belanjawan dulu.

Pendek kata, semuanya berkait.

Dalam isu pengstoran bahan dan barang, kaedah pengstoran bahan-bahan yang saya akan kongsikan disini, dibahagikan kepada dua bahagian; di dalam kabinet dan di dalam peti sejuk.

Apa yang saya coretkan disini, hanyalah sekadar perkongsian yang saya harap dapat dimanfaatkan oleh pembaca dan mungkin ada pendapat pembaca yang saya sendiri dapat manfaat daripadanya.

Kita sama-sama belajar, ok?

Pengstoran bahan-bahan di dalam kabinet

1. Menetapkan apa untuk apa.

Tiada peraturan tetap menetapkan kedudukan mana yang lebih baik kerana semuanya terpulang kepada gaya hidup, keselesaan dan rutin puan punya dapur. Saya percaya, setiap isteri mempunyai teknik sendiri tentang cara menyusun barang-barang mereka dan hanya kerana teknik kita mungkin berbeza dengan orang lain, tidak bermakna kita tidak cekap dan tersusun.

Tapi tetap, kunci utama kepada sistem penstoran yang berkesan adalah dengan menentukan setiap ruang untuk kategori barang yang dikhaskan.

Dibawah adalah gambar kabinet dapur saya yang saya tandakan setiap ruang kabinet dengan huruf-huruf tersebut untuk memudahkan penceritaan.



Perkara pertama saya rasa perlu dilakukan apabila siap sahaja kabinet dapur--merancang apa yang perlu diletak dimana. Tapi ingat, semua ini adalah proses pembelajaran. Pasti ada pemilihan kita yang kita rasa kurang tepat dikemudian hari. Saya sendiri pun sudah beberapa kali merombak kedudukan barang di dalam kabinet dapur ni.

Untuk saya, ini la pemilihan saya (buat masa sekarang. Mungkin kemudian hari saya akan ubah)
Ruang A: Pengisar dan Lapik pemotong
Ruang B: Gelas, cawan, teko dan jag
Ruang C: Bahagian stok minuman dan bekas kaca hidangan
Ruang D: Pinggan mangkuk
Ruang E: Stok tisu dan lilin
Ruang F: Tempat gas
Ruang G: Mini Pantri dan perkakasan memasak
Ruang H: Sudu dan garfu
Ruang I: Mugs dan pinggan makan kami berdua
Ruang J: Tupperware dan bekas plastik kosong
Ruang K: Stok pencuci, bahan pencuci, besen dan plastik sampah

Bahagian kabinet yang jarang atau sukar dicapai seperti kabinet di atas peti ais, seeloknya letak barang yang kita jarang-jarang guna seperti mixer atau tray membakar (kecuali kamu memang rajin membakar kek)

Bagi barang-barang kegunaan harian seperti pinggan makan, cawan dan sudu, pilih bahagian kabinet yang paling mudah untuk kita capai dengan cepat.

Pastikan juga ruang kabinet yang dipilih mempunyai kapasiti yang sebetulnya untuk menyimpan barang/bahan.

Elakkan menyimpan barang yang sedikit di ruang kabinet yang luas.

Elakkan menjadikan kabinet tinggi untuk menyimpan makanan (kecuali kamu masih boleh capai)

Kalau kamu ada ketuhar memasak, tapi tiada ruang di dalam kabinet untuk menyimpan tray, bekas silikon untuk agar-agar dan sebagainya, gunakan sahaja ruang di dalam ketuhar itu untuk menyimpan barang-barang tersebut. Bila kamu nak pakai ketuhar, baru keluarkan barang-barang tu daripada ketuhar dan apabila sudah selesai, masukkan semula ke tempatnya.

2. Lambakan set hadiah

Standard pengantin baru, pasti ada lambakan hadiah set gelas, cawan, pinggan, pisau mangkuk dan macam-macam lagi. Nak pilih guna set A, set B pun tak kurang cantiknya.

Jadi macam mana?

Asasnya: Memilih mana yang nak diguna, mana yang nak disimpan.

Bukan kewajipan untuk keluarkan semua koleksi cawan atau gelas yang ada dan sumbat ke kabinet (kecuali la diri kita memang seorang yang suka tengok koleksi cawan dan gelas penuh-penuh kat dalam kabinet atau memang kita ada budget untuk buat kabinet khas untuk display koleksi kita semua).

Seeloknya, pilih mana yang perlu sahaja dan berpotensi untuk digunakan. Mungkin boleh ambil kira 3 cara dibawah dalam membuat pemilihan:

i. Melalui bilangan cawan/gelas - Letakkan set cawan yang mempunyai jumlah 4 cawan dan 6 cawan (kalau ada 8, lagi bagus). Sekurangnya, kalau tetamu ada 5 orang, boleh pakai set 6 cawan.

ii. Melalui bentuk - pilih gelas yang mempunyai bentuk berbeza antara satu sama lain untuk sesuaikan dengan keadaan (dan elakkan bosan juga)

iii. Praktikaliti - Ada masa bila tetamu datang makan malam dirumah, sudah tentu kita mahukan kelainan, jadi gelas berkaki dapat menaikkan suasana makan malam. Jadi, pilih rekaan berbeza untuk upacara yang berbeza.

Masalah orang kita: Mudah rasa bosan dengan set cawan yang sama
Penyelesaian: Kalau nak tukar 4 set cawan dengan 4 set cawan yang baru, simpan 4 set cawan yang pernah dipakai dan letakkan dengan koleksi yang baru. Tak perlu nak penuh-penuhkan kabinet dengan set cawan daripada bilangan yang sama.

Masalah orang kita: Set cawan tak cukup, tetamu ada 10 orang.
Penyelesaian: pilih set cawan yang paling hampir antara satu sama lain. Kalau set 4 cawan tu dasarnya warna putih, pilih set 6 cawan lain yang dasarnya juga bewarna putih.



Masalah orang kita: Dapat hadiah jag, tapi gelas takde dalam set
Penyelesaian: pilih set gelas yang kosong/ tiada motif pada badan gelas. Lebih senang untuk dipadankan dengan mana-mana jag.

Kita pasti akan hadapi situasi dimana kita dapat lebih daripada satu pengisar, pembakar roti, kuali, dan periuk nasi. Pilih yang mana lebih sesuai digunakan untuk waktu tersebut. Contohnya, periuk nasi kecil lebih sesuai digunakan sebelum kita sudah ada anak-anak. Periuk yang besar simpankan dulu di dalam stor.

Kemas kini: Saya terima soalan bertanyakan, apa nak dibuat dengan set-set cawan dan pinggan mangkuk yang tidak diguna; nak kasi pada orang kah. Apa yang saya buat, saya letak semua cet cawan dalam satu kotak besar dan saya labelkan "Hadiah Cawan" *jangan keluarkan cawan daripada kotak asalnya*. Jadi, di masa akan datang kalau saya nak tukar set cawan saya, saya dah tahu nak cari dimana. Begitu juga dengan set gelas dan set pinggan mangkuk. Bagi alatan elektrik, saya masukkan dalam kotak besar tetapi diluarnya saya senaraikan apa barang-barang di dalam kotak tu

3. Jarak diantara barang

Kita perlu sediakan sedikit ruang diantara perkakas/ barang kaca dan ruang tu kalau boleh biar elok-elok muat jari/ tangan kita untuk mengambil barang-barang tersebut tanpa mengganggu kedudukan barang-barang berhampiran dengannya.

Sangat suka gambar dibawah -- indah tersusun~~


Tips 1: boleh gunakan pinggan kertas untuk asingkan pinggan agar tidak berlaga, macam gambar kat bawah ni.



Tips 2: Para-para seperti dibawah ini berguna untuk meletak periuk belanga (walau saya rasa, kita tak perlukan sampai 5-6 saiz dalam satu masa)



4. Penyusunan barang

Menyusun stok bahan makanan kering memang mencabar bagi saya walau D memang bagi kebebasan sepenuhnya. Maka, saya google dan mencari idea mana yang praktikal untuk ruang yang terhad.

Asas menyusun barang-barang pantri saya adalah ilhamkan daripada gambar-gambar dibawah.

















Persamaan gambar-gambar diatas: menggunakan tray/ bekas untuk menyimpan barang.

Bagusnya bekas-bekas seperti ini, kita boleh tarik semuanya dan amik apa yang kita perlukan, kemudian simpan semula bekas ini ditempatnya, tanpa mengalihkan mana-mana bahagian di dalam bekas ini. Bakul ini juga dapat menyorokkan keadaan lintang pukang di dalam bekas. Hehe.

Saya berjaya beli bekas plastik di pasar borong Equine. Lebih bagus, kerana saya dapat tindihkan bekas tu, maka hasilnya-- lebih banyak ruang kosong yang boleh diisi.

Ni la bekas tu. Beli kat pasar borong, jadi dapat tawar harga hehe *sambil usap perut :P



Rancangnya nak tambah lagi bekas ni, tapi stok kat kedai untuk saiz yang sama camni dah habis. Tengah tunggu diorang tambah semula, jadi mungkin kena beli lepas bersalin rasanya.

Ruang kabinet dapur saya agak dalam dan saya pula jenis tak suka kena ketepikan barang-barang di depan untuk lihat barang apa di belakangnya. Jadi saya beli bekas yang memanjang ke hadapan.

Kaedah yang sama juga saya gunakan untuk simpan bahan pencuci. Saiz bekas di atas ni sama sahaja dengan saiz bekas simpan bahan pencuci.



5. Melabel

Perkara yang saya titikberatkan dalam penyusunan pantri adalah pelabelan. Saya belajar melabel ini bila tengok gambar-gambar di Internet ni







..dan saya rasa praktikal untuk saya. Sesuatu yang saya belajar daripada ibu saya masa bujang dulu.

Situasi 1
Xora: Ibu, kat mana kunyit?
Ibu: Tu, ada kat dalam peti ais bekas oren
Xora: Banyak bekas oren, yang mana??
Ibu: Cari dan buka
Xora: Malas la. Tak jadi goreng ikan.
Ibu: Nak bawa ke mana malas tu!!! Sampai mati??!!

Situasi 2
Xora: Ibu, kat mana stok gula?
Ibu: Dalam almari kering, laci bawah
Xora: Tak jumpa (tak cari pun tapi malas nak cari, maka berdiri aje sebelah almari)
Ibu: Ko dengan ayah sama aje, cari barang pakai mata, bukan hidung, pasal tu tak pernah jumpa. (ibu datang dapur dan amikkan stok gula :P)

Kesimpulannya, saya takmo berlaku insiden D nak cari barang dan tak jumpa, jadi saya kena tolong dia. Dengan adanya label ni, D tiada alasan kata tak jumpa barang :P

D: Kat mana Milo?
X: Kabinet atas dapur, B tau b dah labelkan.

Maka terhasil la aktiviti melabel di dapur saya.

Saya suka tersusun tapi saya tak rajin untuk cetak label dengan cantiknya macam gambar-gambar dibawah.








Saya cuma gunakan pen marker, pita pelekat dan kertas biasa. Asal boleh dibaca, sudah memadai.

Hampir semua barang-barang di dalam kabinet saya labelkan. Gambar-gambarnya InsyaAllah saya akan cuba tambahkan kemudian



6. Memaksimumkan penggunaan ruang

Memaksimumkan penggunaan ruang bukan bermakna kita kena isi semua barang sesesak-sesaknya di dalam almari dan di atas kabinet. Kembali kepada peraturan asas: Guna apa yang perlu sahaja.

Meletak para-para, rak, cangkuk atau rod besi horizontol di dinding adalah salah satu idea untuk menghasilkan ruang lebihan dan pada masa yang sama, mencantikkan ruang dapur dan membebaskan dapur daripada kesesakan barang.



Tapi untuk saya, saya tak letak para-para walaupun berkenan dengan idea dapur daripada IKEA sebab D tak kasi tebuk dinding dapur

T.T *nangis

Jadi saya gunakan idea Lazy Susan diletakkan di sudut sebelah tempat memasak saya, inspirasi daripada gambar dibawah ini.



Cuma bezanya, saya cuma letakkan garam halus, garam kasar dan gula sahaja. Rempah lain seperti kayu manis, buah pelaga, cengkih dan sebagainya, saya letak di dalam peti ais untuk tahan lebih lama dan elak daripada haba (lagipun, rempah ratus tu tak semua masakan kita gunakan, berbanding gula dan garam)



7. Troli dapur mudah alih

Troli mudah alih macam ni boleh dijadikan alternatif untuk beri kita lebih ruang kerja jika tempat simpan barang untuk dapur terhad. Macam gambar di bawah ni





Contoh terdekat adalah troli dapur Bekvam daripada Ikea



Gambar kenangan D tengah gigih pasang troli Bekvam.



Walaupun pada mulanya troli ni bertujuan untuk digunakan bagi tujuan kerja dapur, tapi ruang yang sedia ada diantara ruang memasak dan sinki cukup untuk saya buat kerja rupanya. Maka troli ni saya letakkan berhampiran dengan kawasan sumber elektrik, dan saya letakkan microwave di atasnya memandangkan kami memang tak buat wiring tambahan di dapur dalam waktu terdekat dan ruang berhampiran tempat memasak tak cukup untuk letak microwave, jadi kena gunakan sumber yang sedia ada. Bekas bawang dan cili kering di tingkat bawah sekali



Tingkat atas saya letak jajan-jajan D, macam biskut, roti, planta. Tapi gambar tak dapat nak ambil pasal dah nak puasa, jadi memang dah berhenti beli jajan.

Pengstoran di dalam peti sejuk

Klik gambar di bawah ini untuk perkongsian ilmu.



Saya ada beberapa polisi dalam hal menyimpan barang di dalam peti ais ni

1. Bekas penyimpan makanan

Saya tak mampu nak beli bekas jenama Tupperware banyak-banyak, jadi alternatifnya, saya beli bekas plastik IKEA yang murah dan bermacam-macam saiz ini, untuk menyimpan barang-barang makanan kami di dalam peti ais.



Bekas plastik seragam macam ini, bukan sahaja cantik di mata, tapi praktikal di dalam peti ais. Kriteria yang saya pernah baca dalam internet berkenaan pemilihan bekas plastik:

1. Pilih empat segi berbanding bulat
Empat segi lebih jimat ruang berbanding bekas bulat.

2. Boleh ditindih.
Cari bekas plastik yang boleh ditindih-tindih untuk menghasilkan lebih banyak ruang kosong

3. Nampak dalam
Bekas plastik yang nampak isi didalamnya lebih memudahkan kita untuk mencari barang, berbanding bekas plastik yang tak lutsinar.

Saya memang sentiasa pastikan apa-apa yang saya simpan didalam peti ais ditutup supaya baunya kekal di dalam bekas. Kalau ada makanan yang berbaki, yang saya rasa boleh dimasak semula atau diubah suai, saya akan letakkan di para yang tidak tersorok dan pada paras mata saya supaya senang saya nampak bagi mengelakkan saya tak perasan kewujudannya.

2. Melabel.

Contoh gambar daripada Internet ini, turut melabelkan barang-barang basah





Mengambil pendekatan yang sama, barang-barang basah juga saya labelkan.



Masa mula-mula melabel sayur-sayur ni, saya rasa macam buang masa dan tak ada guna. Tapi bila masa nak memasak, memang amat mudah pasal saya tak perlu nak buka surat khabar untuk lihat apa kandungan dalamnya. Sangat-sangat jimat masa.

Santan pula saya simpan dalam bekas kecil-kecil macam ni pasal tinggal berdua, takde la banyak sangat nak guna pun. Lagipun, nak mencair bekukan lebih mudah dengan bekas kecil begini.



Label singkatan macam ni pun mudah. A untuk Ayam; U untuk Udang; S untuk Sotong



*Lain-lain gambar saya akan muat turun kemudian ya, memandang sudah nak puasa, jadi kalau nak beli barang banyak-banyak, takut busuk bila tak diguna



Tidak ada terlalu banyak perkara yang saya dapat kongsikan tentang pengstoran di dalam peti ais. Cuma antara perkara lain yang saya selalu buat

1. Setiap kali ke pasar, saya akan pastikan beli 1 biji lemon. Lemon ini saya akan perahkan jusnya dan bekukan *pasal tak tahu nak guna bila, jadi bekukan sahaja dulu* dan kulit lemon tu saya akan letakkan di satu sudut di dalam peti ais. Berkesan untuk mengurangkan bau peti ais. Tak pun, kulit lemon ni dengan sedikit jusnya, saya masukkan dalam microwave dan panaskan lebih kurang 3-4 minit untuk menghilangkan bau kurang sedap dalam microwave *saya memang pengguna tegar microwave

2. Jangan letak susu di bahagian tepi peti ais. Susu lebih mudah basi. Kena letak di ruang paling dekat dengan penyejuk. Sama juga dengan butter dan keju.

3. Saya suka beli susu kotak yang saiz kecil (250ml) pasal makanan barat macam lasagna dan spageti menggunakan susu. Kalau beli kotak besar, kena habiskan isinya dalam 3 hari selepas dibuka. Jadi baik pakai kotak kecil, sekali pakai terus buang, tak perlu simpan.

4. Di tepi peti ais, saya tulis senarai sayur dan bahan-bahan mentah yang ada dalam peti ais. Mana yang sudah habis, saya akan pangkahkan. Dengan cara ini, saya dapat jimatkan elektrik daripada membuka peti ais untuk lihat apa bahan yang ada; dan cara ini juga dapat monitor senarai barang apa yang ada, tak ada la membazir terbeli lebih.

5. Siang udang dan ikan siap-siap setiap kali lepas balik pasar. Bersihkan daging lembu dan ayam sebelum masukkan dalam bekas. Menjimatkan masa daripada nak buat itu semua sebelum memasak.

Saya rasa itu dulu perkongsian yang saya boleh tulis untuk post kali ini.

InsyaAllah, post akan datang saya akan berkongsi pula tentang susunan menu untuk memasak.



.. Dan jadual menu, inspirasi daripada gambar dibawah


Sumber: iheartorganizing

Suatu perkara yang saya rasa perlu untuk saya tulis disini, sungguhnya cara ini tidak pernah ibu praktikkan di rumah. Saya mencari cara saya sendiri. Jadi saya kira, aplikasi yang sama kepada pembaca blog ini, cari cara yang praktikal untuk diri kamu. Apa yang saya praktikan sekarang, sekadar memberi idea kasar kepada pembaca. Kesesuaian sesuatu itu kita kena cari dan kembangkan, dan serasikan dengan diri kita sendiri. Mungkin bagi sesetengah orang, cara saya rumit *seperti D selalu fikir*, tapi yang penting saya selesa dengan cara sebegini. Namun, saya masih dalam proses pembelajaran. Saya masih google cara-cara pengstoran yang dapat mengekalkan kesegaran sayur dan sebagainya.

Pembelajaran seumur hidup. Hehe

Lagi satu, penyusunan sebegini memang memerlukan kerjasaman daripada pasangan kita. Mungkin pada mulanya dia rasa kurang selesa atau tidak tahu bagaimana nak sesuaikan diri. Tapi lama-lama dipraktikkan, pasti sudah menjadi cara hidup nanti.

Seperti yang saya selalu kata pada D "Suami ketua, isteri pengurus"


Terkini: Post Rutin Dobi {Post} dulu, saya teringin nak beli bekas baju kotor yang ada tiga ruang berasingan macam gambar dibawah



Sudah berjaya meyakinkan D! Hehe. Gambar bekas tu nanti saya ambil. Bekas biru besar yang lama, saya jadikan tempat letak baju bersih lepas angkat daripada ampaian, sebelum dilipat. Hehe *kena pandai cari alasan.



21 Julai 2011



19 July, 2011

Bila Keselesaan Melebihi Keperluan


Salam dan hai

Boleh tak kali ini, saya nak bercerita topik yang di luar topik perkahwinan? Nak menulis tentang persiapan menyambut 'orang baru' dalam hidup suami isteri, tapi daripada konteks berbeza.

Seperti mana-mana bakal ibu dan ayah, saya dan D tetap ada membuat persiapan untuk si kecil ini, walaupun tidak saya gembar-gemburkan di dalam blog ini.

Baik daripada persiapan keperluan si kecil




Sehingga la kepada keperluan berpantang saya


Alhamdulillah, walaupun kami cuma betul-betul memulakan aktiviti membeli itu dan ini selepas kandungan saya melepasi 30 minggu lebih, tapi tempoh masa yang agak lewat ini la, yang memberikan saya dan D ruang untuk berfikir secukupnya dalam memisahkan senarai antara 'Keperluan' dan 'Keselesaan'.

Kalau dibandingkan dengan senarai semak bayi baru lahir yang memang ada di Internet, rasanya memang apa yang kami sudah sediakan masih banyak lopongnya. Memang seperti mana-mana bakal ibu, saya turut mengalami 'serangan panik' -- saya mahu menyediakan semuanya untuk bayi yang bakal lahir ini, apa tah lagi bila menerima komen daripada kawan-kawan yang menggalakkan saya membuat persiapan A sampai Z, agar saya dapat berpantang dengan tenang tanpa perlu risau apa-apa yang kurang. Apabila tengok senarai persediaan daripada blog bakal-bakal ibu, rasanya memang jauh saya tertinggal.

Semuanya saya hendak sediakan tanpa memikirkan sama ada senarai itu keperluan atau sekadar keselesaan -- sehingga la saya terbaca semula post-post lama saya ketika persiapan majlis perkahwinan kami.

Memang merancang perkahwinan dan menyediakan keperluan bayi adalah dua perkara berbeza, tapi asasnya tetap sama: Keperluan atau tidak.

Pada awal persiapan majlis perkahwinan kami dulu, saya banyak dipengaruhi dengan apa yang saya baca dan lihat daripada blog lain, laman web rujukan, media massa dan persekitaran saya; tanpa mengambil kira praktikalitinya kepada diri saya sendiri. Sehingga saya betul-betul faham apa yang saya mahukan, hanya selepas itu, baru saya menjadi lebih fokus kepada apa yang perlu dalam majlis perkahwinan kami dulu.

Menggunakan kaedah yang sama, kami rombak semula senarai semak kami. Saya berhenti google senarai semak, sebaliknya saya banyak berbincang dengan 3 individu ini

1. Ibu saya: walaupun zaman saya dibesarkan pastinya berbeza dengan zaman anak saya dibesarkan, tapi pengalaman ibu memang penting dalam mengekalkan saya di garis yang betul, mengelakkan saya membeli barang-barang sebelum tiba masanya dan membantu saya memisahkan keperluan dengan kemudahan.

2. Abang saya: Zaman anak abang saya adalah paling dekat dengan zaman anak saya. Lagipun, citarasa kami lebih kurang sahaja, jadi mudah untuk saya faham kenapa dia pilih apa yang dia pilih tanpa prejudis. Abang saya pun pernah tersilap membeli barang-barang bayi, jadi dia banyak kongsi dengan saya apa yang perlu dan tak perlu untuk saya beli, berdasarkan pengalaman dan kesilapan dia kerana saya tahu, tak semua ibu bapa akan mudah mengakui yang mereka tersilap dalam pembelian.

3. Kawan saya: Untuk mendekatkan diri dengan naluri keibuan dan meneutralkan segala perasaan teruja berlebihan *chewahh. Ye Fieza, ko aku maksudkan. Saya perlukan pendapat seorang ibu yang rutin kerjanya dan gaya hidupnya hampir dengan saya, yang boleh membantu saya mengenepikan apa tidak perlu dan memahami apa yang saya rasa tak perlu, sebenarnya amat perlu

Pendapat daripada tiga golongan ini yang membantu saya dalam memuktamadkan senarai semak untuk bayi kami. Ya, mungkin senarai semak kami bukan la yang terbaik, tapi ianya memadai dan bersesuaian dengan kami.

Jadi kepada bakal-bakal ibu diluar sana, kita boleh merujuk kepada 1001 orang, tapi diakhirnya, segala persiapan tetap juga diputuskan oleh kita. Ya, mungkin stroller memberi keselesaan untuk kita berjalan-jalan bersama bayi di pusat membeli belah atau ke rumah saudara mara, tapi kalau kita tak rasa stroller itu suatu keperluan sebelum bayi mencecah 3 bulan, usah beli walaupun rata-rata kawan-kawan kita sudah membelinya. Kita ada alasan dan sebab musabab atas semua tindakan kita. Hanya kerana kita tak menyediakan sesetengah barang tidak seperti mana-mana ibu bapa yang lain, tidak bermaksud kita tidak mahukan yang terbaik untuk anak kita.

Dan untuk saya, prinsipnya mudah: Beli keperluan bayi seiring dengan tumbesaran bayi.

Selebihnya, adalah proses pembelajaran yang pastinya menarik untuk D dan saya tempuhi.


19 Julai 2011